Home NasionalMajlis Belia Kemaman gesa kerajaan tangani isu pendatang asing tanpa izin

Majlis Belia Kemaman gesa kerajaan tangani isu pendatang asing tanpa izin

oleh suara timur

Oleh MUKHATAR A RAHMAN

KEMAMAN: Majlis Belia Daerah Kemaman menggesa kerajaan dan pihak berkuasa berkaitan mengambil tindakan segera terhadap kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI), termasuk golongan pelarian yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah dan diiktiraf kerajaan Malaysia.

Pengerusinya, Mohd Izham Ahmad berkata gesaan itu dibuat menerusi Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Peringkat Daerah Kemaman Tahun 2026 susulan kebimbangan terhadap aspek keselamatan penduduk tempatan dan negara.

Beliau berkata semua individu yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan diiktiraf kerajaan Malaysia wajar dikategorikan sebagai PATI tanpa mengira istilah yang digunakan untuk merujuk kepada mereka.

banner
MOHD IZHAM AHMAD

“Golongan ini dikhuatiri meningkatkan ancaman bukan sahaja kepada penduduk tempatan, malah kepada negara kerana mereka tidak mempunyai pengenalan diri yang boleh dipercayai dan diiktiraf.

“Mereka juga tidak mempunyai rekod biometrik diri, selain asal usul serta status kerakyatan tidak dapat disahkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Izhamyang juga Bendahari Kehormat Majlis Belia Malaysia berkata kerajaan perlu mengambil langkah sewajarnya bagi menangani isu berkenaan sebelum ia menjadi polemik yang lebih sukar dibendung.

Sehubungan itu, beliau menggesa tindakan penguatkuasaan termasuk pengusiran PATI, khususnya di Kemaman dan secara amnya di Malaysia, dipertimbangkan dengan segera atas faktor keselamatan negara.

Beliau turut menggesa kawalan sempadan negara diperkukuh bagi memastikan kemasukan individu tanpa dokumen sah dapat dibendung.

Mohd Izham berkata isu berkenaan perlu diberi perhatian serius bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan penduduk tempatan terus terpelihara. – Suara Timur

Tinggalkan komen