KUALA TERENGGANU: Terengganu berpuas hati dengan persiapan Selangor sebagai tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 meskipun berdepan beberapa kekangan menjelang temasya edisi ke-22 itu.
Timbalan Ketua Kontinjen (TDCM) Terengganu, Zuraida Md Noor berkata, pihaknya memahami cabaran yang dihadapi Selangor dan percaya segala usaha terbaik sudah dilakukan bagi memastikan kelancaran temasya berkenaan.
“Hasil maklum balas yang kami terima, kami memahami situasi yang berlaku dan percaya pihak tuan rumah sudah melakukan yang terbaik bagi memastikan semua kontinjen negeri dapat bertanding tanpa masalah, khususnya membabitkan venue pertandingan.

“Sebagai tuan rumah, sudah tentu mereka mahu memberikan yang terbaik kerana segala yang dilakukan akan menjadi sebahagian daripada sejarah penganjuran SUKMA kali ini,” katanya.
Menurut Zuraida, antara cabaran yang perlu dihadapi kontinjen pada edisi kali ini ialah ketiadaan perkampungan sukan, yang memerlukan setiap pasukan membuat perancangan logistik lebih teliti.
Katanya, keadaan itu turut memberi sedikit cabaran kepada Terengganu dalam menguruskan pergerakan serta keperluan atlet, namun perkara berkenaan sudah dirancang sebaik mungkin bagi memastikan persiapan mereka tidak terjejas.

“Situasi ini bukan sahaja memberi cabaran kepada tuan rumah, malah turut dirasai kontinjen lain. Bagi kami, ketiadaan perkampungan sukan memerlukan percaturan logistik yang lebih teratur.
“Bagaimanapun, perkara itu sudah kami selesaikan sebaik mungkin supaya atlet dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pertandingan tanpa tekanan tambahan,” katanya.
Dalam pada itu, Zuraida berkata, sokongan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan yang dilantik sebagai jabatan angkat kepada kontinjen serta badan induk sukan turut membantu melancarkan persiapan Terengganu.
Pada SUKMA Selangor 2026, Terengganu mengambil bahagian dalam 35 daripada 37 acara yang dipertandingkan dengan kekuatan 799 orang, termasuk atlet dan pengurusan pasukan.
Kontinjen dari Pantai Timur itu menyasarkan sekurang-kurangnya 61 pingat emas bagi memastikan Terengganu berada dalam kelompok tiga terbaik keseluruhan.
Pada SUKMA Sarawak 2024, Terengganu menduduki tempat kelima keseluruhan selepas mengumpul 41 emas, 36 perak dan 47 gangsa. – Suara Timur
