Negara

Penghantar makanan dimaki hanya kerana hon, panggil makcik

TEMERLOH: Tular sebuah klip video dan perkongsian seorang penghantar makanan wanita yang dikenali, Elya Natasha di Facebook dimarahi oleh seorang wanita lain di Taman Temerloh Jaya di sini pada Jumaat.

Penghantar makanan itu mendakwa sudah membuat panggilan telefon namun tidak dapat dihubungi sebelum membunyikan hon di hadapan rumah terbabit.

“Tadi saya pergi hantar makanan dekat Temerloh Jaya dan sampai depan rumah orang itu, panggil beri salam dan nampak pintu depan rumah terbuka.

“Takkan saya nak pergi jenguk pula rumah orang dekat pintu kemudian saya telefon anak dia tapi tidak terangkat, lalu saya hon depan rumah,” katanya.

Tindakan itu menyebabkan wanita terbabit memanggil dan memaki hamun dirinya.

“Terkejut la saya tiba-tiba kena hamun, orang tanya elok-elok siapa punya pesanan mungkin sayalah yang salah rumah,” ujarnya lagi.

Situasi itu menyebabkan dia membuat rakaman video selepas terkejut kerana dimarahi wanita terbabit.

Dalam video itu juga, kedengaran wanita berkenaan memarahi penghantar makanan terbabit kerana memanggil gelaran makcik.

Turut kelihatan anak wanita itu keluar dan memberitahu rakannya yang membuat pesanan tersebut dan panggilan telefon tidak terangkat kerana sedang membuat pekerjaan lain. – Sinar Harian

Related Posts