Home NegaraPetir sambar padang bola, rakyat Malaysia antara 12 pemain bola sepak cedera, seorang maut

Petir sambar padang bola, rakyat Malaysia antara 12 pemain bola sepak cedera, seorang maut

oleh suara timur

SUNGAI GOLOK: Seorang rakyat Malaysia antara 12 pemain bola sepak cedera selepas padang disambar petir dalam satu kejohanan di sini, petang tadi.

Dalam kejadian itu, seorang pemain bola sepak warga Thailand maut.

Ketua Polis Sungai Golok, Kolonel Polis Thun Sirikhunt berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang waktu tempatan ketika perlawanan separuh akhir kejohanan bola sepak Piala FA Golok di Stadium Santiphap.

Beliau berkata, perlawanan antara pasukan SAMCOLTS dan Abu x Nong Sirin itu sebenarnya sudah pun tamat apabila hujan lebat diikuti satu sambaran petir di tengah-tengah padang.

banner
PEMAIN Yala FC, Safwan Awe  (gambar kanan) yang maut selepas disambar petir di di Stadium Santiphap, Golok, Thailand.

“Insiden berkenaan mengakibatkan satu kematian dan 12 yang lain mengalami kecederaan.

“Pasukan polis segera ke lokasi kejadian untuk memeriksa mangsa yang cedera dan, bersama seorang doktor, menjalankan proses bedah siasat ke atas mangsa yang meninggal dunia mengikut prosedur undang-undang,” katanya ketika dihubungi malam tadi.

Beliau berkata, pemain Malaysia yang cedera dikenali sebagai Mohammad Alif Ezzahan Zulkifli, yang beraksi untuk SAMCOLT iaitu pasukan campuran dianggotai pemain Thailand dan Malaysia.

Katanya, pasukan dari Malaysia yang menyertai kejohanan itu ialah Kelantan FC, manakala mangsa yang terjejas turut merangkumi pemain daripada komuniti bola sepak tempatan.

Thun berkata, polis akan meneruskan siasatan dan mengambil tindakan lanjut mengikut prosedur undang-undang.

Difahamkan, mangsa yang maut ialah pemain sayap Yala FC dari Thailand, Safwan Awe.

“Semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sungai Golok untuk menerima rawatan,” katanya. – Berita Harian

Tinggalkan komen