Home Negara4 sekeluarga maut pikap dihempap pokok di Janda Baik, seorang lagi parah

4 sekeluarga maut pikap dihempap pokok di Janda Baik, seorang lagi parah

oleh suara timur

BENTONG: Empat sekeluarga maut selepas kenderaan jenis pikap dinaiki mereka dihempap pokok di Jalan Janda Baik-Bentong, dekat Janda Baik, di sini, hari ini.

Kejadian berlaku ketika kenderaan jenis Ford Raptor dinaiki lima sekeluarga dipercayai dalam perjalanan dari arah Bentong menuju Janda Baik, sebelum dihempap sebatang pokok yang tiba-tiba tumbang.

Selain empat maut, seorang lagi mangsa membabitkan kanak-kanak dilaporkan parah.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu jam 1 tengah hari.

banner

Menurutnya, lapan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong dibantu Pasukan Bomba Sukarela Janda Baik bergegas ke lokasi sebaik mendapat laporan.

“Mangsa membabitkan dua lelaki dewasa, seorang wanita dan seorang kanak-kanak.

“Seorang lagi penumpang membabitkan kanak-kanak lelaki dilaporkan sudah dikeluarkan orang awam dan mangsa dilaporkan parah,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Salahuddin berkata, bomba mengambil masa lebih sejam untuk membawa keluar empat mangsa tersepit dalam pikap berkenaan sebelum mereka disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Identiti empat mangsa terbunuh belum diperoleh.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata polis menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada orang awam kira-kira 12.30 tengah hari.

“Mangsa yang maut ialah pemandu lelaki berusia 35 tahun, seorang wanita berusia 36 tahun yang juga penumpang hadapan bersama seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang dipangkunya, serta seorang lagi lelaki berusia 40 tahun yang duduk di bahagian belakang.

Beliau berkata seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia lima tahun berada di tempat duduk belakang cedera dan dihantar ke Hospital Bentong untuk menerima rawatan.

“Kanak-kanak itu dipercayai kembar kepada kanak-kanak yang maut berdasarkan identiti yang ditemukan,” katanya.

Mayat semua mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh untuk proses bedah siasat. – Berita Harian

Tinggalkan komen