KUALA LUMPUR: Kedudukan beberapa daerah di Kelantan yang terletak di jalur emas utama di Semenanjung Malaysia yang merentasi utara ke selatan menjadikannya sebagai antara negeri yang kaya dengan sumber emas.
Pensyarah Kanan Jabatan Geosains, Fakulti Sains Bumi, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Dr Mohd Syakir Sulaiman berkata, jalur emas di Semenanjung Malaysia terbahagi kepada empat jalur utama yang terbentuk akibat pergerakan kerak bumi lama.
“Dua jalur utama di Pahang dan Kelantan (Zon Bentong-Raub) adalah kawasan lombong emas terkenal seperti Raub dan Selinsing. Jalur lain pula terdapat di kawasan sesar dan batuan volkanik seperti di Terengganu dan Johor, yang masih kurang diterokai.
“Jalur emas yang paling terkenal ialah Central Gold Belt yang merentasi negeri-negeri Pantai Timur seperti Kelantan, Terengganu, dan Pahang. Jalur ini adalah kawasan yang kaya dengan mineral emas dan menjadi tumpuan utama aktiviti perlombongan emas di Malaysia,” katanya.
Tambahnya, jalur ini terbentuk kerana aktiviti tektonik dan magmatik yang kompleks yang berlaku semasa perlanggaran blok kerak itu.
“Secara ringkas, jalur emas ini terbentuk apabila dua bahagian kerak bumi bertembung dan magma serta air panas membawa emas ke rekahan batuan, di mana emas itu kemudian mengendap dan berkumpul membentuk deposit yang boleh dilombong,” katanya.
Menurutnya, lokasi utama lubuk emas di Kelantan ialah di kawasan Tanah Merah, khususnya di Mukim Sokor yang kini menjadi pusat perlombongan emas berskala besar.

Katanya, syarikat seperti Niche Capital Emas Holdings Berhad berjaya menghasilkan jongkong emas pertama di lombong Sokor Utara baru-baru ini, menandakan keberhasilan penerokaan dan perlombongan di kawasan itu.
“Selain itu, kawasan Gua Musang (terutamanya di Kampung Pulai), Jeli, dan Kuala Krai juga adalah antara kawasan yang aktif dengan aktiviti perlombongan emas.
“Kawasan-kawasan ini sudah lama dikenali sebagai lubuk emas sejak zaman dahulu lagi dan masih menjadi tumpuan pelombong sehingga hari ini.
“Di Kampung Kalai, Jeli, terdapat terowong lama yang ditinggalkan pelombong yang dipercayai mula melombong sekitar awal tahun 1900,” katanya.
Beliau berkata, emas yang ditemui di Kelantan biasanya adalah emas jenis 850 (83.5 peratus emas tulen), emas 916 (91.6 peratus emas tulen) dan emas 999 (99.9 peratus emas tulen) yang sangat popular di kalangan penduduk tempatan.
“Perbezaan utama emas Kelantan dengan negeri lain bukan pada ketulenan sebenar emas, kerana ketulenan diukur berdasarkan karat yang sama di seluruh Malaysia, tetapi lebih kepada kualiti kerja tangan dan reka bentuk yang unik serta tradisional dari Kelantan yang membuatkan emas di sana mendapat tempat istimewa di hati pembeli.
“Selain itu, emas Kelantan juga sering dikaitkan dengan harga yang kompetitif dan kepercayaan tinggi terhadap ketulenannya oleh masyarakat setempat,” katanya. – Harian Metro