Home NegeriNelayan jumpa objek dipercayai muntah ikan paus

Nelayan jumpa objek dipercayai muntah ikan paus

oleh suara timur

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Seorang nelayan di Kampung Gong Chengal, Kemasik, dekat sini mendakwa menjumpai objek dipercayai muntah ikan paus atau ‘ambergris’ ketika mencandat sotong di perairan Kemasik, di sini, Khamis lalu.

Nelayan berkenaan, Mohd Raffi Yusoff berkata, beliau pada mulanya terkejut apabila terlihat satu objek bersaiz kira-kira satu meter persegi timbul di permukaan air.

“Ketika itu saya tidak mengesyaki apa-apa, namun terdetik di hati objek berkenaan menyerupai muntah ikan paus.

banner
MOHD Raffi Yusoff menunjukkan objek yang dipercayai muntah ikan paus di Kemasik, Kemaman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

“Saya kemudian memberanikan diri menghampiri dan mendapati sebahagian objek itu timbul di permukaan serta mengeluarkan bau wangi bercampur hanyir,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mohd Raffi berkata, beliau pada awalnya tidak pasti mengenai penemuan tersebut dan hanya mengambil kira-kira satu perempat daripada objek berkenaan, manakala selebihnya hanyut dibawa arus.

“Jika saya tahu nilainya, mungkin saya akan ambil semuanya, tetapi ketika itu saya hanya ambil sedikit sahaja,” katanya.

Beliau berkata, objek berkenaan mempunyai tekstur agak lembut dan dianggarkan seberat kira-kira lima kilogram yang diambil menggunakan alat penyauk sebelum dibawa pulang ke darat.

SEBAHAGIAN daripada objek dipercayai muntah ikan paus yang dijumpai Mohd Raffi Yusoff di Kemasik, Kemaman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Menurutnya, selepas mendapatkan maklumat melalui media sosial dan sumber dalam talian, beliau semakin yakin bahan tersebut adalah ‘ambergris’, iaitu bahan yang jarang ditemui dan dipercayai berasal daripada muntah ikan paus.

Katanya, beliau turut menjalankan beberapa ujian ringkas bagi mengenal pasti ciri-ciri bahan berkenaan dan mendapati hasilnya hampir menyamai maklumat yang diperoleh.

Bagaimanapun, Mohd Raffi berkata, beliau terbuka kepada mana-mana pihak, termasuk agensi berkaitan, untuk mengambil sampel bahan berkenaan bagi tujuan analisis lanjut bagi mengesahkan kesahihannya. – Suara Timur

Tinggalkan komen