KUALA TERENGGANU: Maritim Malaysia (APMM) berjaya menahan sebuah bot nelayan Vietnam yang sedang mengaut hasil laut secara haram di perairan negara semalam.
Bot yang mempunyai tiga kru berusia dalam lingkungan 19 hingga 45 tahun tersebut ditahan pada kedudukan 266.69 kilometer dari perairan Kuala Terengganu dekat sini.
Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin Che Awang berkata, sepasukan anggota APMM yang sedang melakukan rondaan penguatkuasaan telah terserempak dengan bot asing itu pada pukul 12.30 tengah hari.
“Kesemua nelayan asing terbabit didapati sedang leka menarik pukat tunda untuk menangkap ikan secara haram.
“Bot tersebut bertindak memecut laju sebaik menyedari kehadiran kapal peronda APMM tetapi berjaya dipintas selepas kira-kira sejam dikejar,” katanya di sini hari ini.
Hamiludin berkata, pemerisaan mendapati tekong bot nelayan asing tersebut menangkap ikan di perairan negara tanpa permit sah daripada Jabatan Perikanan.
Beliau berkata, pukat tunda digunakan juga bukan peralatan menangkap ikan yang dibenarkan di negara ini.
“Bot, hasil laut, minyak diesel dan peralatan menangkap ikan telah disita melibatkan nilai rampasan kira-kira RM1.5 juta. Kes sedang disiasat mengikut Akta Perikanan 1985,” katanya. – Kosmo
