Negeri

300 peneroka Felda Neram Dua, Kemaman bimbang ancaman gajah liar

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Kira-kira 300  keluarga peneroka di kawasan penempatan Felda Neram Dua, di sini bimbang dengan kehadiran sekumpulan gajah liar berkeliaran di sekitar kawasan kediaman mereka sejak dua hari lalu.

Menurut penduduk, kumpulan kira-kira empat ekor gajah liar itu turut memusnahkan tanaman penduduk dan kehadiran mamalia terrestrial itu terlalu hampir dengan rumah boleh mengancam keselamatan.

Seorang penduduk, Mohd Nawi Mohd Nor, berkata, pencerobohan gajah liar di kawasan kediaman itu merupakan pertama kali berlaku sejak mereka mula tinggal di Felda tersebut lebih 20 tahun lalu.

“Kumpulan haiwan liar itu mula dilihat bergerak masuk ke kawasan kebun dan menghampiri rumah penduduk pada tengah malam tadi.

Mohd Nawi Mohd Nor (tengah) menunjukan buah pisang  dirosakkan sekumpulan gajah liar di belakang rumahnya di Peringkat 3A, Felda Neram 2, Kemaman, semalam. –  SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

“Keadaan itu menyebabkan pelbagai jenis tanaman penduduk termasuk pokok pisang dan kelapa dimusnahkan haiwan berkenaan,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Sehubungan itu, tambahnya, beberapa penduduk mengambil inisiatif mengadakan kawalan pada waktu malam bagi menghalang haiwan liar itu berkeliaran lagi walaupun menyedari tindakan tersebut berisiko.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kehadiran gajah liar berkenaan.

Menurutnya, pihak Perhilitan kini sedang melakukan pemantauan dan telah mengambil tindakan kawalan di kawasan berkenaan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang. – Suara Timur

Related Posts