Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Seorang pemandu kenderaan pacuan empat roda maut selepas terlibat dalam satu kemalangan di Kilometer (KM) 250.8 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2) menghala ke Kuantan berdekatan Plaza Tol Jabor, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Razi Rosli berkata, kejadian berlaku pada pukul 7.41 pagi ketika mangsa yang memandu pacuan empat roda jenis Mitsubishi Storm dalam perjalanan dari Kuala Terengganu bersama isteri dan dua anaknya untuk balik ke rumahnya di Kuantan, Pahang.
Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu kenderaan itu, Ahmad Shuhaimi Kadir, 50, memberhentikan kenderaan dibahu jalan sebelah kiri sebelum dirempuh sebuah lori Hino yang membawa ayam segar untuk dihantar ke Triang, Pahang.
Menurutnya, lori Hino yang datang dari arah belakang dipandu oleh Tengku Mohd Aidie Tengku Mohd Zuki, 31, tidak sempat mengelak lalu terlanggar bahagian sisi sebelah kanan Mitsubishi Storm kerana jarak terlalu dekat.
“Akibat dari pelanggaran tersebut, lori Hino terbabit hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan serta melanggar besi penghadang jalan dan terbalik di lorong kiri sejauh lebih kurang 89 meter.
“Ekoran daripada kemalangan tersebut, mangsa telah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan telah meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau memberitahu, mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman bagi urusan bedah siasat.
Sementara itu, tambahnya, osteri dan anak mangsa dihantar Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk rawatan lanjut. – Suara Timur
Sementara itu, Tengku Mohd Aidie Tengku Mohd Zuki menerima rawatan di Hospital Kemaman.
Kes disasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – Suara Timur