Oleh MUKHATAR A RAHMAN
DUNGUN: Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) bakal menganjurkan KETENGAH Terengganu International Junior Golf Masters 2026 di Kelab Golf Bukit Besi, dekat sini, pada 12 hingga 14 Okt ini sebagai usaha mencungkil dan mengembangkan bakat pemain golf muda.
Pengerusi KETENGAH, Datuk Rozi Mamat berkata, kejohanan itu dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Golf Terengganu dan DKay Golf Academy, selain menjadi platform bagi atlet muda mengembangkan bakat serta meningkatkan pengalaman bersaing di peringkat antarabangsa.
“Pada masa sama, kejohanan ini dapat memupuk semangat kesukanan, disiplin dan daya saing dalam kalangan pemain golf muda,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kejohanan berkenaan menyasarkan penyertaan 88 peserta, dengan 49 peserta setakat ini telah mengesahkan penyertaan termasuk 10 peserta antarabangsa.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar kejohanan Ketengah Terengganu International Junior Golf Masters 2026 di Kelab Golf Bukit Besi di sini hari ini.
Turut hadir Pengurus Besar, Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa.
Rozi berkata, peserta akan berentap dalam enam kategori mengikut umur dan jantina iaitu Bawah 18 Tahun Lelaki dan Perempuan, Bawah 15 Tahun Lelaki dan Perempuan serta Bawah 12 Tahun Lelaki dan Perempuan.
“Selain persaingan merebut kemenangan, peserta dan penonton juga berpeluang menikmati pelbagai hadiah menarik yang disediakan sepanjang kejohanan, termasuk sesi cabutan bertuah dan cabaran Hole in One,” katanya.
Beliau berkata, penganjuran kejohanan itu turut mendapat sokongan beberapa penaja terdiri daripada KETENGAH Holding Sdn Bhd, HHA Associates, Empayar Damai Sdn Bhd, Casa Armada Sdn Bhd, Society of Petroleum Engineers (SPE), RFL Petrolab Sdn Bhd serta A.D. Metal Trading & Transport.
Katanya, kerjasama pihak swasta itu mencerminkan komitmen bersama dalam memperkasa pembangunan sukan golf di peringkat akar umbi, khususnya dalam mencungkil bakat muda.
“Pada masa sama, penganjuran kejohanan ini dapat membantu mempromosikan Terengganu sebagai antara destinasi sukan golf yang berpotensi tinggi di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya. – Suara Timur
