KUALA NERUS: Laluan lebih mencabar dengan tambahan halangan muka bumi menjadi taruhan Terengganu 4×4 Merdeka Challenge 2026 yang membuka saingan edisi keenam di Bandar Baru Kuala Nerus, baru-baru ini.
Tambahan halangan itu bukan sekadar meningkatkan tahap cabaran, sebaliknya memberi kepuasan maksimum kepada pelumba yang dahagakan cabaran selain mewujudkan persaingan lebih seimbang antara peserta yang sudah biasa beraksi di Kuala Nerus dan mereka yang pertama kali menyertai perlumbaan di lokasi berkenaan.
Seramai 56 pelumba dari hampir seluruh negara mengambil bahagian, termasuk beberapa pasukan ternama dari Kedah dan Perak yang saban tahun hadir mencabar kejuaraan, selain barisan pasukan tuan rumah yang turut mempertaruhkan jentera masing-masing.

Pengarah Pertandingan Terengganu Merdeka 4×4 Challenge, Muhammad Muzammil Mokhetar, berkata format pertandingan dikekalkan dengan lapan Special Stage (SS) untuk keseluruhan dua hari perlumbaan.
“Masih mengekalkan lapan SS keseluruhan untuk dua hari perlumbaan seperti edisi lalu, cuma untuk edisi kali ini kami memperbanyakkan lagi halangan yang perlu ditempuhi oleh setiap pelumba.
“Begitu juga jumlah kategori yang dipertandingkan masih sama bagi memberi ruang dan peluang untuk lebih ramai beraksi, khususnya mereka yang baru mula menceburi sukan lasak ini,” katanya.

Menurutnya, hanya pelumba dari Melaka dan Johor tidak dapat menyertai pertandingan pada saat akhir atas faktor teknikal.
Bagi saingan tuan rumah, antara pasukan yang mengambil bahagian ialah Kelab Terjoh! 4×4, UT 4×4 dan GG 4×4, selain beberapa pasukan baharu yang semakin meningkat naik.
Pemenang tempat pertama akan menerima hadiah wang tunai RM3,000, diikuti RM1,500 bagi tempat kedua dan RM1,000 untuk tempat ketiga, manakala pemenang sehingga tempat kelima turut membawa pulang piala dan hadiah iringan.
Terengganu 4×4 Merdeka Challenge 2026 yang berlangsung selama dua hari sebelum melabuhkan tirai pada 5 September 2026 mempertandingkan tiga kategori iaitu Super Novice Litecore, Short Wheel Base (SWS) dan Long Wheel Base (LWS). – Suara Timur
