SUNGAI PETANI: Seorang lelaki yang disyaki menikam wanita dan peniaga telefon bimbit di Taman Nona, Guar Chempedak, malam kelmarin, direman enam hari bagi membantu siasatan.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Noor Fazlina Musa bermula hari ini sehingga 18 September bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Daerah Yan, Superintendan Mohd Hamizi Abdullah, berkata suspek ditahan di Kuala Terengganu pada jam 9.45 pagi semalam dan polis masih menyiasat status hubungan lelaki berusia 29 tahun itu dengan mangsa wanita.
Terdahulu, suspek dibawa menaiki kenderaan polis dan tiba di Kompleks Mahkamah Sungai Petani pada jam 8 pagi.
Kelmarin, media melaporkan bapa wanita itu, Khamis Abdul Rahim, 55, dipetik berkata beliau tiada di rumah ketika kejadian menimpa anaknya, Nurul Nur Syamira, 28, kerana pulang ke kampung di Perak.
Nurul Nur Syamira ditemui meninggal dunia dengan beberapa kesan tikaman di anggota badan di tempat duduk hadapan sebuah kereta Proton Wira dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, manakala seorang lelaki Ku Asyraf Ku Shuib, 30, ditemui
tertiarap di atas jalan taman perumahan itu yang terletak kira-kira 500 meter dari jalan raya, juga dengan kesan tikaman pada badan.
Sementara itu, peguam mewakili suspek, Abdul Hayyi Salim yang hadir pada proses reman pagi tadi, memaklumkan suspek ditahan berhadapan sebuah kedai di tepi jalan di Kuala Terengganu, semalam.
Ditanya sama ada suspek mengalami sebarang kecederaan, beliau memaklumkan lelaki itu dalam keadaan baik.
Menurut Abdul Hayyi, suspek adalah pekerja swasta dan dalam proses mencari kerja di Kuala Lumpur ketika kejadian berkenaan.
Dalam pada itu, satu sidang media dijangka diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah esok berhubung perkembangan kes terbabit. – TV3