Negeri

MB melawat kawasan runtuhan tebing seorang diri

KUALA NERUS: “Ingatkan siapa yang pakai pelitup muka tengah hari buta di kawasan runtuhan tebing ini, rupanya Menteri Besar Terengganu. Datang seorang diri saja.”

Itulah tulisan seorang pengguna Facebook,
Eizam Edwan Zulkifli berkongsi pengalaman bertembung dengan Menteri Besar ketika berada di lokasi runtuhan itu, semalam.

Menurut hantaran tersebut, Ahmad Samsuri dilihat berada di lokasi kejadian untuk meninjau keadaan sebenar.

Beliau hadir dengan berpakaian santai, memakai topi, pelitup muka dan selipar sahaja tanpa ditemani pegawai atau wakil kerajaan negeri.

Tindakan mengejut itu difahamkan bertujuan memastikan beliau mendapat gambaran sebenar keadaan di lokasi terbabit.

Orang ramai di media sosial rata-rata menyambut baik tindakan Ahmad Samsuri yang melakukan tinjauan secara mengejut kerana dianggap mencerminkan keprihatinan beliau terhadap isu rakyat.

Runtuhan yang melibatkan projek baik pulih Jalan Pantai Batu Rakit itu berlaku pada malam Rabu lalu dengan kerosakan sepanjang kira-kira 15 hingga 20 meter.

Kejadian itu dipercayai berpunca daripada hakisan di bahagian bawah benteng, walaupun ketika kejadian cuaca berada dalam keadaan baik serta tiada hujan atau fenomena air pasang besar.

Sebelum ini, Exco Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Hanafiah Mat memaklumkan bahawa Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang menjalankan pemeriksaan teknikal menyeluruh bagi mengenal pasti punca runtuhan serta menilai langkah pembaikan segera yang perlu dilaksanakan bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya.

Kawasan runtuhan telah dipasang penghadang keselamatan dan jalan kedua-dua arah turut ditutup kepada semua kenderaan bagi mengelakkan sebarang risiko keselamatan.

Projek dengan nilai keseluruhan RM4.95 juta itu mula dilaksanakan oleh kontraktor SR Tech Resources sejak 8 April 2025 dan dijadualkan siap pada 7 Oktober depan. – Suara Timur

Related Posts