Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Seorang pemandu lori ditahan selepas kenderaan dibawanya dipercayai membawa muatan 470 guni baja tanaman bersubsidi yang dipercayai diseludup di Kemaman, Terengganu, awal pagi tadi.
Pemandu lori berusia 40 puluhan itu di ditahan kira-kira pukul 2.30 pagi dekat Plaza Tol Cheneh Baru, Lebuhraya Pantai Timur Dua (LPT2) oleh sepasukan Unit Peronda LPT2, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Bukit Aman.
Ketika kejadian, lori terbabit sedang dalam perjalanan dari arah Kelantan menuju ke Pahang dan disyaki untuk menjual baja berkenaan secara pasaran gelap.

Sewaktu ditahan, pemandu lori berkenaan gagal menunjukkan sebarang dokumen berkaitan penjualan dan kebenaran untuk membawa baja tersebut.
Siasatan lanjut mendapati, baja bersubsidi itu diambil secara runcit daripada penduduk kampung di kawasan Jelawat dan Bachok, Kelantan bagi tujuan pasaran gelap.
Kesemua baja bersubsidi itu kemudiannya dipercayai akan dijual secara haram di kawasan Paloh Hinai dan Muadzam Shah di Rompin dengan harga antara RM25 hingga RM30 ringgit untuk satu kampit.
Siasatan lanjut turut mendapati pemandu lori terbabit dipercayai telah diupah sebanyak RM250 ringgit untuk membawa muatan baja berkenaan bagi satu perjalanan .
Lori terbabit kemudiannya di bawa ke Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli ketika dihubungi telah mengesahkan mengenai tangkapan tersebut. – Suara Timur
