Mahkamah dan Jenayah

PGA diarah pertingkat kawalan di sempadan negara

KUALA LUMPUR: Pasukan Gerakan Am (PGA) diarahkan memperketat kawalan di kawasan sempadan negara sekali gus mengumpul maklumat risikan mengenai penyeludupan senjata api ke Malaysia.

Langkah drastik itu diambil berikutan dua insiden tembakan maut di Kuala Lumpur yang mengorbankan tiga nyawa dalam tempoh empat hari.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, PGA sudah diarahkan untuk memperketatkan formasi mereka di sepanjang sempadan, terutamanya di utara bagi menghalang penyeludup membawa masuk senjata api.

“Pasukan risikan PGA juga ditugaskan untuk mengumpulkan maklumat mengenai aktiviti sedemikian.

“Ini adalah untuk melengkapi risikan polis dari pelbagai negeri di sepanjang sempadan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas mengenai dua kes tembakan di Kuala Lumpur, Razarudin berkata, ia adalah insiden terpencil dan polis sedang berusaha untuk mengenal pasti dan menjejaki mereka yang bertanggungjawab.

Harian Metro semalam melaporkan polis memberi jaminan tahap keselamatan di ibu negara masih terkawal walaupun berlaku dua kes tembakan dalam tempoh empat hari di Brickfields dan Cheras. – Harian Metro



Related Posts