Mahkamah dan Jenayah

‘Tak terjangkau dek akal, bayi 3 bulan dirogol, rakaman video dijual – Saifuddin

PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan wujud kes seorang bayi berusia tiga bulan dirogol dan dirakam sebelum rakaman itu dijual.

Berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini, beliau menyifatkan kes berkenaan adalah sesuatu yang tidak masuk akal.

“Saya diberi taklimat (oleh polis baru-baru ini) pada jam 12.30 tengah malam, kalau sudah waktu itu, maknanya seriuslah.

“Sekarang ini dah berlaku satu keadaan yang teruk, tak terjangkau dek akal. Bayi umur tiga bulan kena rogol, divideokan dan (rakaman) dijual video itu.

“Itu sudah kira gila, ya dah gilalah, tak terbayang oleh kita,” katanya tanpa mendedahkan sama ada kes itu berlaku dalam negara atau sebaliknya.

Saifuddin berkata, pihaknya kini sedang merancang untuk memperkasakan D11 Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah.

Bagaimanapun, pada sidang media selepas majlis berkenaan, ketika diminta mengulas lanjut mengenai kes terbabit, Saifuddin enggan memberi butiran. – Berita Harian


Related Posts