Mahkamah dan Jenayah

Polis kesan tiga lelaki guna pistol, parang rompak kedai emas

IPOH: Polis sedang mengesan tiga suspek yang disyaki terbabit dalam kejadian rompakan bersenjatakan sebilah parang dan sepucuk pistol di sebuah kedai emas dalam pasar raya di Falim, Menglembu, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, maklumat kejadian itu diterima daripada orang awam pada pukul 1.25 petang.

Katanya, siasatan di lokasi kejadian mendapati ketiga-tiga suspek dipercayai warga tempatan dan memakai topeng muka itu telah melarikan sejumlah barang kemas berupa rantai leher dan subang yang dianggarkan bernilai RM390,000.

“Siasatan mendapati ketiga-tiga suspek bersenjatakan sepucuk pistol dan sebilah parang. Mereka melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta jenis Toyota Camry berwarna putih.

“Tiada kecederaan yang dilaporkan dalam kejadian ini dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan bersenjata.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintenden Fadli Ahmad di talian 019-2500019 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – Utusan

Related Posts