KOTA BHARU: Polis Kelantan akan mempergiatkan kawalan di sempadan negara bagi mengekang kemasukan lembu serta kerbau yang dibawa masuk secara haram menjelang Aidiladha.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, penugasan dipergiatkan lagi susulan satu kes kematian dicatatkan berkait jangkitan wabak Anthrax pada 1 Mei lalu yang dikaitkan dengan penyembelihan serta pengambilan daging mentah di daerah Don Tan, Wilayah Mukdahan, Thailand.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, lembu dari Thailand mendapat permintaan tinggi bukan sahaja di negeri ini malah dari seluruh negara kerana harganya yang lebih murah.
“Menjelang Hari Raya Aidiladha, permintaan terhadap lembu sangat tinggi sehingga ada pihak termasuk penternak memilih harga murah berbanding faktor keselamatan.
“Kami menyeru masyarakat di luar sana, khususnya pengusaha dan penternak lembu, agar memandang serius perkara ini dan tidak terlibat dalam sebarang aktiviti penyeludupan melalui laluan tikus atau laluan tidak sah,” katanya dalam sidang akhbar pada Khamis.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini.
Menurut Mohd Yusoff, pihaknya memandang serius isu penyeludupan lembu di sepanjang sempadan Kelantan-Thailand yang boleh mengundang pelbagai risiko keselamatan dan kesihatan kepada rakyat serta industri penternakan negara.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai agar menggunakan laluan sah melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS).
“Semua urusan import lembu hendaklah dilakukan melalui laluan sah bagi memastikan kawalan keselamatan dan pemeriksaan kesihatan haiwan dapat dijalankan dengan berkesan.
“Penyeludupan haiwan secara tidak sah bukan sahaja boleh menyebarkan penyakit berjangkit kepada haiwan ternakan tempatan, malah turut berisiko menular kepada manusia.
“Sehubungan itu, amaran keras diberikan kepada semua pihak agar tidak memandang ringan perkara ini. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang negara,” tegasnya. – Sinar Harian