Mahkamah dan Jenayah Negara

Pesawat TUDM tergelincir, landasan LTSAH ditutup sementara

ALOR SETAR: Pesawat pejuang Hawk 208 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dilaporkan tergelincir di landasan Pangkalan Udara Kepala Batas di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang, pesawat terbabit dipercayai hendak berlepas bagi menjalani latihan penerbangan sebelum tergelincir di landasan.

Ketika ini, juruterbang TUDM sedang giat melakukan latihan penerbangan intensif sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA ’25) yang dijadual berlangsung pada 20 hingga 24 Mei ini.

Harian Metro masih berusaha mendapatkan reaksi TUDM berhubung kejadian.

Sementara itu, Malaysia Airports dalam kenyataan memaklumkan, landasan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (AOR) terpaksa ditutup sementara berikutan insiden membabitkan pesawat milik TUDM.

Kenyataan itu memaklumkan, penutupan landasan itu bagi membolehkan kerja mengalihkan pesawat serta pembersihan landasan dilakukan demi keselamatan semua operasi penerbangan.

“Notis kepada Juruterbang (NOTAM) telah dikeluarkan dan penutupan dijangka berterusan sehingga jam 10.30 malam ini. Sepanjang tempoh ini, semua operasi penerbangan di AOR akan terjejas,” katanya.

Penumpang yang terlibat termasuk jemaah haji yang dijadualkan berlepas dari lapangan terbang itu dinasihat merujuk kepada syarikat penerbangan masing-masing atau Lembaga Tabung Haji (TH) bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai penerbangan mereka.

Menurut kenyataan, perkembangan lanjut akan dimaklumkan setelah landasan disahkan selamat dan dibuka semula Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM). – Berita Harian

Related Posts