LANGKAWI: Lebih 2,500 pengunjung teruja merakam keindahan habitat marin ketika fenomena ‘laut terbelah’ di Tanjung Rhu di sini, apabila beting pasir kira-kira satu kilometer muncul awal pagi tadi.
Fenomena unik yang hanya berlaku sekali setahun itu membolehkan orang ramai berjalan kaki merentasi lautan cetek dari Pantai Tanjung Rhu ke Pulau Kelam Baya selama kira-kira satu setengah jam bermula jam 7 pagi.
Tinjauan mendapati, pengunjung tidak melepaskan peluang berjalan sambil merakam pelbagai hidupan marin yang jelas kelihatan di dasar laut kerana lazimnya kawasan itu berkedalaman sehingga 2.5 meter ketika air pasang.
Seorang pengunjung, Rosemah Abdul Hadi, 28, dari Kampar, Perak berkata, pengalaman berjalan di atas beting pasir sejauh satu kilometer itu memberi peluang kepadanya melihat habitat marin dari jarak dekat buat pertama kali.
“Banyak habitat marin saya jumpa seperti tapak sulaiman, kuda laut, sotong kurita dan batu karang yang cantik serta kelihatan segar.
“Percutian saya ke Langkawi selama tiga hari dua malam kali ini memang berbaloi kerana difahamkan fenomena ini hanya berlaku setahun sekali,” katanya.
Pendapat sama turut dikongsi Ruzita Mohd Salleh, 30, dari Tampin, Negeri Sembilan yang sanggup membuat tempahan penginapan di sebuah resort berhampiran bagi menyaksikan fenomena itu dari awal hingga akhir.
“Saya antara pengunjung terawal memasuki beting pasir ini dan sempat mengambil banyak gambar habitat marin di sekitar Pulau Kelam Baya.
“Antara yang ditemui termasuk gamat, kuda laut, ikan sebelah, tapak sulaiman, kerang bersaiz besar, kepah, tiram dan obor-obor. Saya hanya mengambil gambar dan tidak menyentuh haiwan itu,” katanya.
Fenomena air surut habis itu turut ditinjau Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perancangan dan Pembangunan) Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Wan Kamarul Faisal Wan Kamardin.
Mengulas perkara itu, Wan Kamarul berkata, keunikan fenomena jarang berlaku itu mula diketengahkan sebagai produk pelancongan Langkawi sejak lima tahun lalu dan terus mendapat sambutan menggalakkan.
“Dianggarkan 2,500 pengunjung terdiri penduduk tempatan dan pelancong tiba seawal jam 5.30 pagi semata-mata untuk melihat sendiri fenomena air surut habis serta berjalan di atas beting pasir sejauh satu kilometer,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Laut Malaysia (JLM) Wilayah Utara, Abd Majid Rais mengesahkan paras air laut sekitar Langkawi surut sehingga 0.1 meter pada awal pagi hari ini. – Berita Harian
