KUALA LUMPUR: “Berbanding manusia (mengandung sembilan bulan), ibu gajah mengandungkan anaknya selama 22 bulan. Satu tempoh masa yang panjang mewujudkan kasih sayang luar biasa ibu gajah pada anaknya,” ujar Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim.
Beliau mengulas insiden menyayat hati apabila seekor ibu gajah enggan berganjak meninggalkan anaknya yang mati dirempuh treler di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, Perak, awal pagi semalam.
Gajah betina ini dilihat berdiri selama lebih lima jam di sisi bangkai anaknya yang terperosok mati di bawah kenderaan berat itu.
Kadir berkata, hubungan psikologi ibu gajah dan anaknya amat kuat bermula dari tempoh mengandung, penyusuan hingga kehidupan awal anak gajah.
“Sebagai mamalia, wujud ikatan dan keintiman emosi antara ibu gajah dan anaknya. Hubungan ini tidak hanya bersifat fizikal, tetapi juga amat mendalam dari sudut psikologi.
“Gajah khususnya spesies gajah Asia (Elephas maximus) dan gajah Afrika (Loxodonta africana), mempunyai struktur sosial yang kompleks dan penuh kasih sayang.
“Tempoh kehamilan seekor ibu gajah mencecah 22 bulan iaitu masa terpanjang dalam kalangan semua haiwan darat. Proses kehamilan yang lama ini mencerminkan betapa seriusnya peranan seekor ibu gajah dalam membesarkan anaknya,” katanya,
Beliau berkata, gajah betina akan membentuk ikatan yang sangat kuat dengan anaknya sebaik sahaja kelahiran berlaku.
“Anak gajah yang baru lahir bergantung sepenuhnya kepada ibu mereka bukan sahaja untuk makanan, tetapi juga perlindungan dan bimbingan sosial.
“Secara purata, anak gajah akan disusukan oleh ibunya selama dua hingga empat tahun. Namun, dalam sesetengah kes, penyusuan boleh berlanjutan sehingga anak mencecah usia lima tahun.
Menurutnya, dari perspektif psikologi haiwan, anak gajah bukan sahaja belajar berjalan dan mencari makanan daripada ibunya, malah belajar mengenal emosi seperti empati, kasih sayang dan kesedihan.
“Kajian menunjukkan bahawa gajah dapat mengingati individu dan menunjukkan kesedihan yang mendalam jika kehilangan ahli keluarga.
“Kehilangan ibu gajah atau anak gajah adalah satu trauma besar bagi keluarga gajah ini. Dalam kes pemburuan haram, anak-anak gajah yang kehilangan ibu sering menunjukkan tanda kemurungan, kehilangan selera makan dan sukar menyesuaikan diri dalam kumpulan baharu. Keadaan sama juga turut dialami ibu gajah yang kehilangn anak,” katanya,
Menurutnya, hubungan antara ibu dan anak gajah adalah simbol kasih sayang tulen dalam alam dan habitat semula jadi.
“Kejadian nahas mengorbankan anak gajah ini juga adalah satu mesej kepada manusia berhubung nilai empati, penjagaan dan kasih yang merentas spesies,” katanya.
Sementara itu, Kadir turut menasihati pengguna jalan raya lebih berwaspada ketika melalui lokasi habitat hidupan liar.
“Elakkan memandu terlalu laju dan sentiasa peka dengan pergerakan haiwan liar yang mungkin akan melintasi jalan raya terutama pada waktu tengah malam atau awal pagi,” katanya. – Harian Metro