Politik

‘UMNO milik rakyat, bukan segelintir kelompok’ – Pengerusi UMNO Terengganu

KUALA TERENGGANU: “UMNO bukan milik segelintir kelompok, sebaliknya milik seluruh rakyat.”

Demikian tegas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Rozi Mamat sempena sambutan Hari UMNO ke-79, hari ini.

Menurut beliau, parti keramat itu mesti kembali kepada perjuangan asal dengan mengetepikan perbalahan dalaman dan memperkukuhkan perpaduan demi memastikan UMNO terus relevan dalam landskap politik semasa.

“Saya menyeru agar kita perkemas saf perjuangan. Tinggalkan segala perbalahan. Bangkitkan semula kekuatan parti dengan semangat baharu. UMNO adalah milik rakyat,” katanya dalam satu kenyataan

Rozi menegaskan, UMNO tidak sempurna, namun sentiasa berusaha memperbaiki kelemahan serta belajar daripada sejarah lampau.

“Kami tidak menjanjikan bulan dan bintang. Tetapi kami berjanji untuk kembali merendah diri dan berkhidmat,”katanya.

Mengulas tema ‘Kita Melangkah Untuk Berubah’, beliau berkata, ia menggambarkan iltizam UMNO Terengganu untuk membawa pendekatan yang lebih segar, realistik dan menepati kehendak rakyat.

“Perjuangan tidak boleh statik. Kita mesti bergerak, berubah dan memperbaharui diri agar terus relevan. Namun, perubahan itu bukan bererti melupakan asas perjuangan agama, bangsa dan tanah air,” ujarnya.

Dalam pada itu, Rozi turut mengajak anak muda bersama-sama menyumbang kepada kebangkitan semula UMNO dan membina masa depan yang lebih cemerlang untuk negeri dan negara.

“UMNO Terengganu pernah melahirkan ramai tokoh dalam pelbagai bidang.

“Kini tiba masanya kita cipta kejayaan baharu, bukan sekadar bernostalgia, tetapi dengan ilmu, strategi dan keikhlasan,” katanya.

Ulang tahun ke-79 UMNO disambut hari ini dengan mesej utama untuk memperkukuh perpaduan dalaman dan bergerak ke hadapan dengan semangat perubahan. – Sinar Harian

Related Posts