Negara Politik

Peruntukan pembangunan untuk Kelantan RM3.19 bilion tahun ini – PM

BACHOK: Peruntukan pembangunan disalurkan Kerajaan Pusat untuk Kelantan sebanyak RM3.19 bilion tahun ini menyaksikan peningkatan berganda berbanding 2022 sebanyak RM1.55 bilion.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata peningkatan berganda itu sekali gus mencerminkan keprihatinan Kerajaan Persekutuan terhadap Kelantan.

“Peruntukan besar membabitkan 471 projek itu meliputi pelbagai projek infrastruktur utama dan bantuan kepada rakyat di negeri berkenaan.

“Lebih RM1 bilion digunakan untuk pembinaan jalan termasuk meneruskan projek Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU), RM500 juta untuk projek air seperti Loji Rawatan Air Machang, RM100 juta untuk program Rumah Mesra Rakyat dan bantuan rumah.

“Manakala RM50 juta untuk program pekebun kecil di bawah Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA),” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2025 Peringkat Negeri Kelantan di Pantai Irama, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud; Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, peningkatan itu membuktikan komitmen Kerajaan Madani dalam memastikan pembangunan negeri tidak dipinggirkan walaupun berada di bawah pentadbiran parti berbeza.

“Bukan hanya Kelantan, sebaliknya Terengganu, Kedah dan Perlis turut menyaksikan kenaikan berganda membabitkan peruntukan pembangunan,” katanya. – Berita Harian

Related Posts