KOTA BHARU: Polis Kelantan mengesahkan mendapat maklumat kemungkinan terdapat madrasah yang tidak berdaftar di Kelantan dijadikan lokasi pengubahan wang haram.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata pihaknya mendapat maklumat awal berhubung perkara berkenaan dan siasatan masih dijalankan.
Katanya, ada pengasas produk sanggup melabur atau menyumbang kepada madrasah berkenaan sehingga jutaan ringgit semata-mata hanya untuk meminta doa atau saham akhirat daripada madrasah itu.
“Hasil perbincangan polis dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), kita dapati banyak madrasah yang tidak berdaftar dan boleh dikatakan separuh daripada jumlah madrasah di Kelantan tidak berdaftar.
“Kita bimbang madrasah berkenaan dijadikan lokasi pengubahan wang haram sebab kita mendapat maklumat banyak pengasas luar dari Kelantan datang melabur sehingga mencecah RM2 juta untuk meminta doa selain sebagai saham akhirat.
“Berdasarkan maklumat kita, ia membabitkan beberapa madrasah dan kita bimbang berlaku kegiatan pengubahan wang haram,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Pada masa sama, beliau tidak menolak kemungkinan disebabkan faktor itu terdapat pondok di negeri ini tidak mahu berdaftar dengan MAIK.
“Ada yang melabur sehingga berjuta-juta mungkin terpengaruh dengan penggunaan kata-kata sehingga menjadi taksub.
“Situasi itu seperti Ayah Pin yang baru, budak sampai taksub sehingga tak mahu balik rumah walaupun dijemput ibu bapa,” katanya.
Justeru, beliau mengingatkan semua pihak yang mahu membuat pelaburan atau sebagainya supaya membuat semakan terlebih dahulu sama ada madrasah berkenaan berdaftar, mempunyai tauliah dan sebagainya.
“Polis Kelantan dengan kerjasama MAIK akan memantau madrasah berkenaan bagi mengekang sebagai kegiatan tidak diingini,” katanya. – Berita Harian