KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa merangka strategi khusus merentas kementerian bagi menangani isu projek perumahan terbengkalai yang terus membebankan pembeli rumah.
Menurut Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu), pembeli rumah terpaksa membayar ansuran bulanan penuh walaupun projek masih belum siap.
“Antaranya Projek Residensi Hektar Gombak yang didapati terbengkalai lebih setahun sebelum ini ekoran masalah kewangan yang dihadapi oleh pemaju walaupun pembeli rumah telah pun mula membayar ansuran bulanan penuh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau turut menzahirkan kebimbangan terhadap kenaikan harga rumah di bawah Skim Rumah Wilayah Persekutuan, yang dahulunya berharga sekitar RM63,000 tetapi kini mencecah RM300,000.
“Bagaimanakah kerajaan mengimbangi antara keperluan merancakkan pembangunan perumahan yang berdaya unik dan mampan serta menyediakan lebih banyak rumah mampu milik kepada pembeli rumah pertama terutamanya dari segi pembiayaan untuk mereka yang berdepan dengan kesukaran deposit sepuluh peratus memandangkan skim ini telah tidak menawarkan bantuan dana tambahan?” soalnya.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, projek perumahan yang dikategorikan sebagai ‘projek sakit’ telah dikenal pasti oleh Jabatan Perumahan Negara (JPN) di bawah Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).
“Sesuatu projek dianggap sebagai ‘sakit’ apabila mengalami kelewatan lebih 30 peratus berbanding jadual asal atau telah tamat tempoh perjanjian jual beli.
“Jadi kita telah kenal pasti beberapa projek sakit khususnya berada di bawah Wilayah Persekutuan ini maka memang kita pantau secara rapi khususnya jawatan Wilayah Persekutuan ini bersama dengan Jabatan Perumahan Negara sebab kita adalah ahli kepada task force projek-projek sakit ini.
“Jadi tentunya projek-projek sakit ini kita akan mengenal pasti dan kita akan ambil tindakan yang sepatutnya dalam kita memastikan akhirnya pembeli mendapat pembelaan dan akhirnya mendapat memiliki rumah tersebut,” katanya. – Harakahdaily