Politik

Amanah beri laluan BN tanding PRK DUN Ayer Kuning

IPOH: Parti Amanah Negara (Amanah) Perak akan memberi laluan kepada Barisan Nasional (BN) untuk meletakkan calon mewakili Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning yang dijangka berlangsung susulan kematian penyandangnya.

Pengerusi Amanah Perak, Datuk Asmuni Awi berkata, keputusan itu sebagai sokongan tidak berbelah bahagi sebagai isyarat jelas kepada rakyat bahawa kestabilan politik yang dicapai menerusi Kerajaan Perpaduan perlu dipelihara.

Menurutnya, Amanah Perak juga telah memulakan persiapan awal menyusun jentera bagi memastikan kemenangan calon yang bakal dinamakan oleh BN nanti sekali gus mengukuhkan kerjasama dan semangat perpaduan antara BN dan Pakatan Harapan (PH) khususnya di Perak.

“Dalam Mesyuarat Pengurusan Amanah Perak yang diadakan semalam (Ahad) telah mengarahkan sayap parti, Angkatan Wanita Amanah (Awan), Pemuda dan Wanita Muda Amanah (Warda) membuat perbincangan rasmi bersama BN.

“Ini perlu dilakukan untuk menyusun strategi menyasarkan pengundi muda dan wanita sebagai kumpulan sasar bagi meraih undi dalam PRK ini nanti,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Asmuni berkata, hubungan baik di antara BN dan PH perlu diperkukuh demi memastikan perancangan dan dasar yang sedang dilaksanakan sama ada di peringkat negeri mahupun pusat menjadi keutamaan ketika ini.

Jelasnya, Amanah Perak juga yakin bahawa Kerajaan Perpaduan di negeri Perak boleh menjadi model terbaik dalam mempamerkan keutuhan kerjasama BN-PH serta manfaat yang diperolehi rakyat menerusi dasar dan polisi yang dilaksanakan.

Pada Ahad, media melaporkan Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid akan memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai kekosongan luar jangka kerusi DUN Ayer Kuning berikutan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin pada Selasa ini.

Makluman rasmi itu bagi tindakan lanjut SPR termasuk mengadakan PRK bagi kawasan berkenaan.

Berdasarkan Perkara 36(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak, Speaker DUN akan memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengadakan pilihan raya kecil.

Untuk rekod, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), BN memenangi kerusi DUN Ayer Kuning dengan majoriti 2,213 menewaskan empat calon lain masing-masing dari PH, Perikatan Nasional, Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Gerakan Tanah Air.

Ishsam dari UMNO memperoleh 9,088 undi diikuti Mohd Nazri Hashim dari Amanah yang mendapat 6,812 undi, Muhammad Noor Farid Zainal dari Pas (6,812 undi), K Bawani dari PSM (586 undi) dan Maziah Salim dari Parti Pejuang Tanah Air (105 undi). – Sinar Harian

Related Posts