PORT DICKSON: Penduduk di sekitar Tanjung Agas di sini lega apabila seekor buaya gergasi di kawasan itu berjaya ditangkap selepas memasuki perangkap yang dipasang Perhilitan hari ini.
Pengarah Perhilitan Negeri Sembilan, Wan Mat Wan Harun berkata, operasi menangkap reptilia itu dijalankan pasukannya sebelum tindakan translokasi dilakukan.
“Setakat ini, operasi translokasi sedang dilaksanakan oleh pasukan Perhilitan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Kejayaan menangkap buaya itu melegakan penduduk dan orang ramai yang sebelum ini bimbang dengan kehadiran reptilia tersebut selepas dikesan membaham pesara polis, Jaafa Hasan, 62, pada 25 Mei lalu. – Kosmo
