KUALA LUMPUR: Jika Parlimen diibaratkan sebuah bilik darjah, sekumpulan ahli Parlimen yang tak pernah ponteng pastinya mengumpul banyak “pujian” tahun ini. Namun di satu sudut lain pula, tiga tokoh politik kanan menonjol kerana rekod kehadiran yang paling rendah.
Analisis New Straits Times (NST) terhadap 78 hari persidangan Dewan Rakyat tahun ini — berdasarkan senarai kehadiran dalam hansard — menunjukkan jurang ketara antara wakil rakyat yang hadir setiap hari dan mereka yang hampir sepanjang tahun tidak berada di kerusi masing-masing.
Bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mencatat ketidakhadiran tertinggi, iaitu sebanyak 69 hari, dengan kadar kehadiran hanya 11.5 peratus.
Diikuti rapat Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang tidak hadir selama 65 hari (kadar kehadiran 16.7 peratus), manakala Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pula tidak hadir 60 hari, meninggalkannya dengan kadar kehadiran 23.1 peratus.
NST telah menghubungi ketiga-tiga mereka untuk mendapatkan maklum balas berhubung rekod kehadiran tersebut. Hishammuddin belum memberi sebarang respons. Abdul Hadi menyatakan NST perlu merujuk kepada Pejabat Speaker Dewan Rakyat, manakala Mohd Shafie enggan mengulas.
Setiap ahli Parlimen menerima elaun RM400 bagi sehari persidangan yang mereka hadiri.
Sebahagian ketidakhadiran Abdul Hadi merangkumi 11 hari yang dimaklumkan secara rasmi di bawah Peraturan Mesyuarat 91, yang mewajibkan ahli Parlimen memaklumkan kepada Setiausaha Dewan Rakyat sekiranya tidak dapat hadir.
Peraturan itu berkait dengan Perkara 52 Perlembagaan Persekutuan, yang membenarkan Parlimen mengisytiharkan sesuatu kerusi kosong jika ahlinya tidak hadir ke setiap mesyuarat selama enam bulan tanpa kebenaran.
Ahli Parlimen yang diberikan cuti rasmi juga tidak dibenarkan mengambil bahagian dalam apa-apa urusan Parlimen sepanjang tempoh tersebut. – Berita Harian
