Home NegeriJom Baca 2026 semarakkan budaya ilmu

Jom Baca 2026 semarakkan budaya ilmu

oleh suara timur


Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Program Santai Ilmu: Jom Baca Terengganu 2026 peringkat Perpustakaan Desa (PD) Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) Negeri Terengganu berlangsung meriah dalam suasana ceria dan penuh inspirasi, sekali gus menyemarakkan semangat cintakan ilmu dalam kalangan peserta.

Program bertemakan “Membaca Membina Minda, Ilmu Membentuk Bangsa” itu dianjurkan oleh Perpustakaan Desa PNM Terengganu dengan kerjasama pelbagai agensi, dan diadakan di Perpustakaan Desa Kampung Paya Berenjut di sini semalam.

Lebih 300 kanak-kanak, ibu bapa serta komuniti setempat menyertai program berkenaan, termasuk meluangkan masa selama 10 minit untuk aktiviti membaca menerusi inisiatif “Jom Baca 10 Minit”.

banner
RAMZY Md Taha menandatangan plak perasmian Program Santai Ilmu : Jom Baca Terengganu 2026 Peringkat Perpustakaan Desa (PD) Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) Negeri Terengganu di Perpustakaan Desa Kampung Paya Berenjut, Kemaman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Turut menjayakan program ialah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Paya Berenjut, KRT Taman Banggol Indah, Pusat Aktiviti Kanak-Kanak Pintar Kampung Paya Berenjut serta Balai Penghulu Mukim Banggol.

Majlis penutup disempurnakan oleh Pengarah Prasarana Ilmu dan Maklumat PNM, Ramzy Md Taha.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Perpustakaan Desa Kampung Paya Berenjut, Ahmad Muhaimin Othman; Pegawai Keselamatan Zon 2 JBPM Terengganu, Penolong Penguasa Bomba Hambali Mohamad; serta Timbalan Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Kemaman, Siti Fatimah Muhamad Fadzil.

Program itu turut menghimpunkan 40 petugas Perpustakaan Desa PNM Terengganu bersama peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat.

RAMZY Md Taha (dua dari kiri) bergambar selepas merasmikan majlis penutup Program Santai Ilmu : Jom Baca Terengganu 2026 Peringkat Perpustakaan Desa (PD) Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) Negeri Terengganu di Perpustakaan Desa Kampung Paya Berenjut, Kemaman. –  SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Pelbagai aktiviti menarik diadakan antaranya pertandingan mewarna bersama bomba bagi meningkatkan kesedaran keselamatan kebakaran, pertandingan Pintar Jawi bagi memperkukuh kemahiran tulisan Jawi dalam kalangan pelajar, pertandingan gubahan ilmu kreatif untuk ibu-ibu serta pertandingan e-sukan Mobile Legends bagi golongan muda.

Ramzy berkata, penganjuran program itu selaras dengan visi PNM sebagai peneraju perkhidmatan perpustakaan dan maklumat negara.

“Ia juga mendukung misi PNM untuk mengungguli penyampaian perkhidmatan perpustakaan serta memelihara khazanah intelek negara secara holistik ke arah membentuk masyarakat berpengetahuan,” katanya.

Menurutnya, program berkenaan turut menyokong aspirasi Kementerian Perpaduan Negara dalam memperkukuh perpaduan rakyat melalui pemerkasaan komuniti di peringkat akar umbi.

RAMZY Md Taha (kanan) bertukar dokumen dengan Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Mak Lagam, Nazri Nordin pada Program Santai Ilmu : Jom Baca Terengganu 2026 Peringkat Perpustakaan Desa (PD) Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) Negeri Terengganu di Perpustakaan Desa Kampung Paya Berenjut, Kemaman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Katanya, usaha seumpama itu mampu memupuk nilai kasih sayang, toleransi dan saling menghormati, sejajar dengan prinsip Rukun Negara serta gagasan Malaysia MADANI.

“Saya yakin inisiatif sebegini akan memberi impak positif berpanjangan dalam membina komuniti bersatu padu, di samping menyuburkan budaya ilmu dan semangat kesukarelawanan,” katanya.

Beliau berkata, perpustakaan desa memainkan peranan penting sebagai pusat ilmu, pembangunan sahsiah dan perpaduan komuniti, justeru program seumpama itu wajar diteruskan serta diperluaskan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat termasuk penganjur, petugas perpustakaan, rakan strategik serta komuniti Kampung Paya Berenjut atas komitmen dan kerjasama menjayakan program berkenaan. – Suara Timur

Tinggalkan komen