Negeri Politik

Saikri tawar diri tanding jawatan Ketua Cabang PKR Kemaman

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN:  Bekas Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Kemaman, Saikri Ngah @ Choh menawarkan diri sebagai calon Ketua Cabang PKR Kemaman dalam pemilihan parti itu yang bakal diadakan pada 18 April depan.

Saikri yang mesra dengan panggilan Sahar merupakan anak jati kelahiran Kemaman akan berdepan dengan tiga lagi calon Ketua Cabang PKR Kemaman termasuk pemegang jawatan yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Terengganu, Ahmad Nazri Mohd Yusof, Bekas Calon Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) PKR Parlimen Kemaman, Hasuni Sudin dan Amir Hamzah Ghazali.

Saikri yang merupakan calon No. 1 berkata, keputusan untuk bertanding bukan kerana jawatan atau matlamat peribadi, tetapi beliau percaya bahawa PKR Kemaman mampu mengangkat suara rakyat supaya didengari demi perubahan masa depan yang gemilang, lebih inklusif dan lebih berdaya saing.

“Matlamat dan harapan saya adalah untuk memperkasakan akar umbi, memberikan keyakinan kepada ahli-ahli bahawa PKR sentiasa kuat dan memberikan harapan masa depan yang lebih baik,” katanya ketika dihubungi Suara Timur di sini, hari ini.

Calon Ketua Cabang PKR Kemaman, Saikri Ngah @ Choh (dua dari kiri) dan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli (empat dari kiri).

Saikri berkata, situasi tersebut memberikan gambaran bahawa PKR di Kemaman mempunyai keahlian dan penyokong tegar dan setia, yang sentiasa memperkasakan ranting-ranting di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) untuk memperkemas gerak kerja bagi bersaing dalam setiap pilihanraya.

Ujarnya, dengan kerjasama yang semua pihak ia dapat memantapkan dan memperkasa akar umbi dengan kesatuan yang erat.

“Saya mengharapkan sokongan dan kepercayaan semua ahli untuk bersama-sama melakar perubahan dengan kesatuan yang utuh.

“Marilah kita melangkah dengan penuh semangat perjuangan demi kesejahteraan dan Keadilan untuk rakyat,” ujarnya. – Suara Timur

Related Posts