Home NegeriSeorang terselamat, dua cedera melecur rumah terbakar

Seorang terselamat, dua cedera melecur rumah terbakar

oleh suara timur

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Seorang terselamat manakala dua lagi cedera melecur dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Tok Kapor, Binjai, di sini awal pagi tadi.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Chukai, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Hanif Che Khalid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.51 pagi sebelum menggerakkan jentera ke lokasi kejadian sejauh 8.4 kilometer.


Menurutnya, kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis kekal berkeluasan kira-kira 50 x 50 kaki yang terbakar 50 peratus dan berjaya dikawal dalam tempoh 40 minit.

banner
KEADAAN rumah yang terbakar di Kampung Tok Kapor, Binjai, Kemaman, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN


“Dua mangsa mengalami kecederaan melecur namun kesemua mangsa berjaya menyelamatkan diri sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan kepada Suara Timur, hari ini.


Beliau berkata, Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) memberikan rawatan awal kepada mangsa sebelum menghantar mereka ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut.


Dua mangsa yang cedera dikenal pasti sebagai Muhammad Haris Kamaruddin, 25, dan Miss Hananee, 29, seorang warga Thailand, yang kini dirawat di Unit Kecemasan Hospital Kemaman.


Kebakaran itu turut melibatkan dua buah kenderaan, iaitu sebuah motosikal jenis Yamaha RXZ yang terbakar 100 peratus dan sebuah kereta Perodua Myvi yang terbakar kira-kira 15 peratus.


Mohd Hanif berkata, operasi pemadaman melibatkan seramai 20 anggota dari BBP Chukai dengan bantuan BBP Kemaman menggunakan dua jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah kenderaan water tanker serta sebuah van EMRS.


“Sebaik tiba di lokasi, anggota bertindak memadam kebakaran menggunakan tiga aliran hos sepanjang 200 kaki, satu breaching dengan lima pancutan air daripada tangki jentera dan water tanker, manakala BBP Kemaman menggunakan satu aliran hos 100 kaki, satu pancutan serta satu aliran hos reel air daripada tangki jentera,” katanya.


Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 3.36 pagi dan operasi pemadaman tamat pada pukul 5.07 pagi. – Suara Timur

Tinggalkan komen