MARANG: Jambatan Marang membabitkan jajaran sejauh 2.5 kilometer merentasi sungai Marang dijangka siap dan dapat digunakan sepenuhnya menjelang Aidilfitri 2027.
Menteri Kerja Raya, Datuk Sri Alexander Nanti Linggi berkata, projek merangkumi pembinaan jambatan sepanjang kira-kira 220 meter dan jejambat merentasi bandar Marang sepanjang 680 meter serta kerja menaiktaraf jalan sejauh 1.5 kilometer itu membabitkan peruntukan sebanyak RM339 juta dimulakan sejak Disember 2021.
Katanya, pelaksanaan projek pembinaan Jambatan Marang menggunakan kaedah penyesuaian kaedah permodelan maklumat bangunan (BIM) termasuk kerja menaiktaraf jalan kepada empat lorong dua hala.
“Jambatan Marang apabila siap Mac 2027 mampu memberi manfaat kepada penduduk setempat dan pengguna jalan raya dengan empat lorong dan dua hala dengan lebih efisien, selamat serta selesa.

“Setakat ini, projek ini sudah mencapai kemajuan fizikal 54.70 dan kemajuan kewangan sudah dibayar kepada kontraktor adalah kira-kira RM172 juta,” katanya kepada media di sini, hari ini.
Terdahulu, Alexander meninjau kemajuan projek menaiktaraf Jambatan Marang yang merentasi Sungai Marang, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan.
Yang turut hadir adalah Ketua Pengarah JKR, Datuk Roslan Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Hanafiah Mat.
Mengulas lanjut, Alexander berkata, pembinaan jambatan baharu itu juga direka bentuk bagi membolehkan kapal nelayan zon C menyusuri sungai dan tidak tersekat ketinggian jambatan yang sedia ada berusia lebih 55 tahun.
Katanya, jambatan Sungai Marang apabila siap nanti mampu menyuraikan masalah kesesakan lalu lintas terutama pada waktu kemuncak dan musim cuti perayaan.
“Laluan itu juga apabila beroperasi mampu menjimatkan masa perjalanan dan merangsang pertumbuhan ekonomi komuniti setempat terutamanya membabitkan sektor nelayan serta logistik maritim,” katanya. – Berita Harian