MARANG: Empat kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) dan seorang pesakit cedera apabila ambulans yang dinaiki terbabas dan melanggar sebatang pokok di Kilometer 49 Jalan Kuala Terengganu – Kuantan dekat Kampung Jambu Bongkok di sini, pukul 12.30 tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Marang, Superintenden Mohd. Sofian Redzuan berkata, kemalangan itu berlaku ketika ambulans tersebut dalam perjalanan dari Hospital Kemaman ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.
Menurutnya, kenderaan tersebut dipandu seorang lelaki berumur 41 tahun bersama seorang doktor perempuan berumur 28 tahun, dua orang jururawat dan seorang pesakit perempuan berumur 21 tahun.

“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila tayar belakang sebelah kiri kenderaan itu pecah menyebabkan terbabas dan melanggar sebatang pokok di kiri jalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam kejadian ini, Mohd. Sofian memberitahu, pemandu ambulans dan kesemua penumpang mengalami kecederaan ringan.
“Kesemia mangsa kemalangan itu dikejarkan ke Hospital Nur Zahirah untuk menerima rawatan lanjut,” katanya. – Suara Timur