Negara

Nahas pelajar UPSI: Satu tragedi besar kepada pendidikan negara – KPT

SHAH ALAM – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memberi jaminan akan menyalurkan bantuan secara menyeluruh kepada semua mangsa dan keluarga pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terlibat dalam nahas bas di Gerik, awal pagi Isnin.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, kementerian amat dukacita dengan tragedi yang telah meragut 15 nyawa pelajar institusi berkenaan.

“Kejadian ini merupakan satu kehilangan besar kepada sektor pendidikan tinggi negara.

“KPT merakamkan salam takziah kepada keluarga mangsa dan seluruh warga UPSI,” katanya dalam kenyataan media.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.40 pagi itu, sebuah bas yang membawa 36 pelajar UPSI dilaporkan terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung ketika dalam perjalanan pulang dari program khidmat masyarakat di Kelantan.

Seramai 15 pelajar disahkan maut, manakala selebihnya mengalami kecederaan pelbagai tahap dan sedang dirawat di Hospital Gerik serta Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

Zambry berkata, KPT kini bekerjasama rapat dengan pihak pengurusan UPSI serta agensi berkaitan bagi menyelaraskan segala bentuk bantuan termasuk sokongan psikososial, logistik dan keperluan kebajikan lain.

“Kementerian juga sedang memantau rapi perkembangan mangsa yang masih dirawat dan akan memastikan mereka menerima rawatan dan sokongan yang sewajarnya,” jelas beliau. – Sinar Harian

Related Posts