Home NegeriRANACO Kolej Angkat YTAA perkasa pendidikan TVET golongan berpendapatan rendah

RANACO Kolej Angkat YTAA perkasa pendidikan TVET golongan berpendapatan rendah

oleh suara timur

Oleh MUKHATAR A RAHMAN

KEMAMAN: Ranaco Education & Training Institute (RANACO) kini dijadikan Kolej Angkat Yayasan Tengku Abdul Aziz Sultan Abu Bakar (YTAA) dalam usaha memperkukuh akses pendidikan dan latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), khususnya bagi golongan berpendapatan rendah dan asnaf.

Pengerusi YTAA Tengku Hassanal Badyr Almarhum Tengku Panglima Perang Tengku Abdul Aziz berkata inisiatif berkenaan selari dengan aspirasi kerajaan untuk memperluas akses pendidikan TVET, terutama dalam bidang berimpak tinggi seperti maritim, kejuruteraan serta industri minyak dan gas.

Beliau berkata RANACO mempunyai peranan penting dalam melahirkan tenaga kerja mahir dan kompeten menerusi program pendidikan serta latihan berasaskan industri.

banner

“RANACO telah dikenali sebagai sebuah institusi yang memainkan peranan penting dalam melahirkan tenaga mahir dalam bidang seperti maritim, kejuruteraan, teknologi minyak dan gas serta latihan teknikal lain yang berimpak tinggi.

KAPTEN  Saad Din (dua kiri) memberi penerangan cara mengendali kapal pada simulasi pemanduan kapal sempena Program Lawatan Tapak Ke Ranaco Education & Training Institute (Kolej Angkat YTAA) bersama Yayasan Tropicana di Kemaman hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A RAHMAN

“Lawatan ini bukan sekadar kunjungan biasa, tetapi membawa maksud yang lebih besar kerana institusi ini bukan sahaja menyediakan peluang pendidikan, malah memberi pendedahan praktikal yang amat diperlukan dalam industri sebenar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Lawatan Tapak ke Ranaco Education & Training Institute (Kolej Angkat YTAA) bersama Yayasan Tropicana di Kawasan Perindustrian Jakar di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif RANACO Syafiq Asyraf Mohd Yusop; Pengarah Program Yayasan Tropicana Serena Lim; Ketua Pegawai Eksekutif YTAA Khairul Anuar Khahfi; Pengarah Urusan Meeka International Sdn Bhd Puteri Alaina Nohuddin dan Ketua Pegawai Operasi RANACO Kapten Saad Din.

SYAFIQ Asyraf Mohd Yusop (kanan) menerangkan sesuatu kepada Tengku Abdul Aziz Sultan Abu Bakar,  Tengku Hassanal Badyr Almarhum Tengku Panglima Perang Tengku Abdul Aziz (dua kiri) dan Serena Lim sempena Program Lawatan Tapak Ke Ranaco Education & Training Institute (Kolej Angkat YTAA) bersama Yayasan Tropicana di Kemaman, hari ini. – SUARAVTIMIR/MUKHATAR A RAHMAN

Tengku Hassanal berkata YTAA melihat pendidikan dan kemahiran sebagai satu bentuk pelaburan jangka panjang dalam pembangunan modal insan, terutama dalam menyediakan laluan pendidikan dan kerjaya yang lebih jelas kepada golongan muda.

“Kami percaya pertemuan ini merupakan langkah penting dalam membina persefahaman dan kerjasama strategik antara YTAA dan Yayasan Tropicana, khususnya dalam merealisasikan hasrat memberikan peluang kepada anak-anak muda mengikuti program pendidikan serta membangunkan mereka sebagai modal insan berkemahiran tinggi dan berdaya saing,” katanya.

Sementara itu,, Ketua Pegawai Eksekutif RANACO Syafiq Asyraf Mohd Yusop berkata, pengiktirafan RANACO sebagai Kolej Angkat YTAA, selain kunjungan Yayasan Tropicana, merupakan satu perkembangan positif dalam usaha memperkukuh agenda pendidikan TVET.

Beliau berkata, RANACO kekal komited melahirkan modal insan berkemahiran tinggi, kompeten dan berdaya saing bagi memenuhi keperluan industri, khususnya sektor maritim, kejuruteraan serta teknologi minyak dan gas.

KAPTEN Saad Din (kanan) memberi penerangan cara mengendali kapal pada simulasi pemanduan kapal sempena Program Lawatan Tapak Ke Ranaco Education & Training Institute (Kolej Angkat YTAA) bersama Yayasan Tropicana di Kemaman hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A RAHMAN

“Kami yakin sokongan YTAA dan potensi kolaborasi bersama Yayasan Tropicana dapat mengangkat agenda pembangunan pendidikan dan kebajikan anak-anak muda ke tahap lebih tinggi.

“Kerjasama ini juga berpotensi membuka lebih banyak laluan kerjaya serta peluang latihan praktikal yang komprehensif bagi membolehkan pelajar mendepani cabaran industri sebenar,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Program Yayasan Tropicana Serena Lim berkata lawatan pihaknya ke RANACO merupakan kunjungan tapak dan sesi perbincangan awal bersama YTAA serta RANACO Group bagi memahami dengan lebih mendalam program latihan dan pembangunan belia yang dilaksanakan institusi berkenaan.

“Lawatan ini merupakan sebahagian daripada usaha Yayasan Tropicana meneroka peluang kerjasama di bawah program Youth Forward, khususnya inisiatif yang dapat membantu golongan belia membuat persediaan untuk peringkat seterusnya selepas tamat persekolahan, sama ada melanjutkan pelajaran atau memasuki alam pekerjaan.

“Kami tertarik untuk mengetahui dengan lebih lanjut pendekatan YTAA dan RANACO dalam pembangunan belia serta pendedahan kepada latihan berasaskan industri,” katanya.

Serena berkata pihaknya melihat terdapat potensi sinergi antara inisiatif yang dilaksanakan YTAA dan RANACO dengan aspirasi program Youth Forward, namun sebarang bentuk kerjasama masih tertakluk kepada perbincangan lanjut dan penilaian semua pihak – Suara Timur

Tinggalkan komen