Negeri

Penunggang motosikal Yamaha RXZ maut kemalangan

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

DUNGUN: Seorang penunggang motosikal Yamaha RXZ maut dalam kemalangan di Kilometer 370 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), berhampiran Hentian Rehat dan Rawat Bukit Besi di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari, mangsa, Hariz Fahmi Shaizuren Amin, 29, berasal dari Seri Kembangan, Selangor, meninggal dunia di lokasi kejadian ekoran kecederaan di beberapa bahagian badan.

Difahamkan, ketika kejadian, mangsa bersama beberapa rakannya yang menunggang motosikal jenis yang sama sedang dalam perjalanan menuju ke Gong Badak, Kuala Terengganu untuk menghadiri program RXZ Members 7.0.

Motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai secara tiba-tiba bergesel dengan salah sebuah motosikal rakannya menyebabkan motosikal ditunggangnya terbalik dan mangsa tercampak ke atas jalan raya.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Menurutnya, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedahsiasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd. Razi Rosli berkata, di Kemaman, seorang penunggang Yamaha RXZ cedera ringan selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan dan terjatuh di kanan lebuh raya sebelum dirempuh sebuah Perodua Bezza di Kilometer 293.5 LPT2 berhampiran Kijal kira-kira pukul 5 pagi tadi.

“Pelanggaran itu menyebabkan motosikal mangsa terseret beberapa meter dan kedua-dua kenderaan itu turut terbakar. Bagaimanapun, penunggang motosikal berusia 19 tahun itu hanya cedera ringan manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya. – Suara Timur

Related Posts