Oleh MUKHATAR A RAHMAN
KEMAMAN: Sepasang suami isteri nyaris maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) Perodua Ativa dinaiki mereka merempuh seekor gajah yang melintas jalan di di kilometer 160, Jalan Jerangau-Jabor, berhampiran Bandar Cheneh Baru dekat sini malam tadi.
Dalam kejadian pada pukul 7.30 pagi itu, Amirul Afiq Aazmi, 31,dan isterinya yang berusia lingkungan 30-an hanya mengalami kecederaan ringan manakala kenderaan SUV dinaiki mereka rosak teruk.
Gajah liar berkenaan dipercayai haiwan yang sama ditemui penduduk berkeliaran di sekitar lokasi kemalangan beberapa hari lepas.
Ketika kejadian, kenderaan SUV dinaiki pasangan terbabit dikatakan sedang dalam perjalanan dari arah Kuantan, Pahang menuju ke Kota Bharu, Kelantan.
Pada masa sama, haiwan liar itu dipercayai melintas jalan menuju ke ladang kelapa sawit berhampiran, menyebabkan kenderaan mangsa tidak sempat mengelak sebelum merempuh gajah berkenaan.
Pada masa sama, sebuah kereta Perodua Myvi yang mengekori belakang SUV tidak sempat mengelak dan melanggar bahagian belakang perodua Ativa.
Kedua-dua mangsa berjaya di keluarkan orang ramai dari kenderaan yang remuk teruk sebelum di bawa ke Unit Kecemasan Hospital Kemaman oleh pasukan perubatan untuk menerima rawatan.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli ketika di hubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian itu.
Insiden berkenaan adalah kejadian kedua selepas bulan lalu sepasang suami yang menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) merempuh sekumpulan gajah liar yang melintas jalan di Lebuhraya Pantai Timur Dua (LPT2) berhampiran susur masuk ke Plaza Tol Cheneh. – Suara Timur
