PETALING JAYA: Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Leftenan Jeneral Datuk Azhan Md Othman dilantik sebagai Panglima Tentera Darat ke-31, berkuat kuasa esok.
Pelantikan ini dibuat selaras dengan keputusan Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera ke-631 pada 19 November lalu dan telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 1 Disember lalu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, dengan pelantikan itu diyakini mampu memperkukuh kepimpinan Tentera Darat serta meningkatkan keupayaan operasi ATM dalam memenuhi tuntutan pertahanan negara kini dan masa hadapan.
“Namun demikian, pelaksanaan keputusan Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera ke-631 mengenai pelantikan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan sebagai Panglima Angkatan Tentera ditangguhkan.
“Beliau telah diarahkan bercuti bagi membolehkan proses siasatan pihak berkuasa dijalankan terhadap dakwaan yang telah dilaporkan melibatkan beliau,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamed Khaled berkata, pemangkuan tugas Panglima Angkatan Tentera akan dilaksanakan oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Dr. Zulhelmy Ithnain, sebagaimana pengumuman yang telah dibuat pada 27 Disember lalu.
Beliau berkata, kementeriannya menegaskan bahawa segala langkah yang dilaksanakan ini bertujuan menjunjung kedaulatan undang-undang serta memelihara integriti ATM.
“Sambil memastikan tugas mempertahankan kedaulatan negara terus dilaksanakan dengan berkesan,” ujarnya. – Kosmo
