Oleh BAZLI RAZAK
TANJONG MALIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mencatat sejarah tersendiri apabila buat pertama kalinya tersenarai dalam kelompok 100 universiti terbaik dunia, berada pada kedudukan ke-98 dalam senarai global UI GreenMetric 2025.
Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, pencapaian itu dilihat sebagai pengiktirafan besar terhadap usaha berterusan UPSI dalam memperkukuh kecemerlangan akademik dan penyelidikan, selain komitmen terhadap agenda kelestarian serta pembangunan mampan di kampus.
Menurut Md Amin, kejayaan itu mencerminkan kesungguhan dan komitmen seluruh warga universiti dalam menjayakan inisiatif kelestarian yang digariskan melalui pelan strategik universiti.

“Kedudukan ke-98 dunia bukan sekadar kejayaan angka, tetapi simbol keutuhan misi universiti dalam membangunkan kampus yang hijau, inklusif dan mampan.
“Ia adalah hasil kerja keras semua fakulti, pentadbiran, mahasiswa serta rakan kolaborasi strategik yang sentiasa bersama menyokong usaha ini,” katanya di sini, hari ini.
Beliau menegaskan, pencapaian itu memperlihatkan kesediaan UPSI untuk terus menggalas tanggungjawab sebagai institusi pendidikan tinggi yang proaktif terhadap isu perubahan iklim dan kelestarian.
Tambah Md Amin, universiti sentiasa membuka ruang kerjasama dengan industri, agensi kerajaan dan komuniti bagi memperluaskan impak program kelestarian.
“Pendekatan holistik yang melibatkan pelbagai pihak ini penting kerana agenda kelestarian bukan tanggungjawab universiti semata-mata. Kita komited memastikan penyelidikan, inovasi dan pendidikan yang dijalankan benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat dan negara.
Beliau berkata, peningkatan berkenaan adalah hasil penambahbaikan berterusan UPSI pada enam indikator utama penilaian UI GreenMetric, iaitu Infrastruktur Kampus, Tenaga dan Perubahan Iklim, Pengurusan Sisa, Pengurusan Air, Pengangkutan Kampus serta Pendidikan dan Penyelidikan Kelestarian.
Jelasnya, melalui pelaksanaan Pelan Strategik UPSI 2021–2025, universiti itu berjaya meningkatkan skor keseluruhan dengan ketara berbanding tahun sebelumnya, sekali gus menepati matlamat untuk menjadikan UPSI sebagai model amalan terbaik kelestarian dalam kalangan institusi pendidikan tinggi negara.
“Sejajar kejayaan menembusi kelompok 100 universiti paling lestari dunia, UPSI komited meneruskan agenda pembangunan rendah karbon dengan memperluas penggunaan tenaga boleh diperbaharui, memperkukuh pengumpulan data alam sekitar, menerapkan teknologi kampus pintar dan meningkatkan program pendidikan serta penyelidikan berimpak tinggi,” ujar beliau. – Suara Timur
