SHAH ALAM: Kerajaan Madani mengumumkan penurunan harga diesel bersubsidi untuk rakyat Malaysia kepada RM2.10 seliter di seluruh negara mulai Julai 2026 menerusi pembaharuan penyasaran subsidi diesel yang lebih seragam dan bersasar.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata, pengumuman itu dibuat di Bintulu, Sarawak pada Ahad sebagai sebahagian daripada usaha memastikan subsidi kerajaan dinikmati rakyat Malaysia yang layak.
Iklan
Menurut beliau, pelaksanaan baharu itu akan menggunakan mekanisme berasaskan MyKad, selaras dengan pendekatan yang telah dilaksanakan menerusi program Budi Madani RON95 (BUDI95)
Katanya, melalui pembaharuan itu, rakyat Malaysia akan menikmati harga diesel yang sama serta kaedah pembelian yang seragam di seluruh negara termasuk di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
“Subsidi diesel akan disalurkan terus kepada rakyat Malaysia melalui pengesahan MyKad, manakala bukan warganegara dan pihak yang tidak layak perlu membeli diesel pada harga tanpa subsidi,” katanya dalam satu kenyataan media Kementerian Kewangan pada Ahad.
Kementerian Kewangan memaklumkan, langkah itu penting dalam keadaan krisis Asia Barat yang terus memberi tekanan kepada bekalan minyak global, selain memastikan subsidi kerajaan hanya sampai kepada rakyat Malaysia.
Menurut kementerian itu, pembaharuan berkenaan juga bertujuan mengurangkan ketirisan dan penyeludupan diesel bersubsidi yang berlaku akibat perbezaan ketara antara harga diesel bersubsidi dan harga tanpa subsidi.
Ketika ini, diesel masih dijual pada harga runcit bersubsidi RM2.15 seliter di semua stesen minyak di Sabah dan Sarawak, berbanding harga runcit diesel tanpa subsidi RM4.37 seliter di Semenanjung Malaysia.
“Perbezaan harga ini telah mewujudkan ruang kepada ketirisan serta penyeludupan diesel bersubsidi termasuk ke luar negara,” menurut kenyataan itu.
Kementerian Kewangan berkata, menerusi pembaharuan penyasaran subsidi diesel, harga runcit diesel di Sabah dan Sarawak akan diselaraskan dengan harga runcit di Semenanjung Malaysia, sekali gus menamatkan manfaat subsidi kepada bukan warganegara.
Pada masa sama, rakyat di Sabah dan Sarawak yang menggunakan kenderaan diesel akan menikmati pengurangan harga runcit daripada RM2.15 seliter kepada RM2.10 seliter.
Maklumat lanjut mengenai pelaksanaan pembaharuan penyasaran subsidi diesel itu akan diumumkan oleh Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada Isnin. – Sinar
