SEBERANG PERAI – Seorang penghidap HIV yang juga pemilik sebuah ‘spa songsang’ mengaku salah di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini hari ini atas dua pertuduhan iaitu berisiko menularkan jangkitan kepada orang lain serta memiliki bahan lucah dalam telefon bimbit.
Tertuduh, Khor Yik Keian, 57, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Roshayati Radellah.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa mempunyai sebab untuk percaya bahawa dirinya menghidap penyakit berjangkit iaitu Human Immunodeficiency Virus (HIV) dan mendedahkan orang lain kepada risiko jangkitan melalui perbuatannya.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di premis Unique Two Recreation Centre, Jalan Perai Jaya 4, Perai di sini pada pukul 7 malam, 29 November lalu. Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 12(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(a) akta sama.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memiliki bahan lucah iaitu gambar dan video dalam telefon bimbit Oppo Reno 11, mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda atau kedua-duanya.
Menerusi prosiding berasingan di mahkamah sama, tiga lelaki iaitu Syed Al Aisy Syed Alfarley, 19; Teoh Wan Seong, 37; dan Ahmad Safwan Razali, 33, turut didakwa melakukan perbuatan kelucahan melampau terhadap Mohamad Azuddin Sabran, 58, dan Khor Yik Keian di pusat sauna yang sama.
