Home Nasional300,000 rakyat Kelantan hidap diabetes, tapi ramai tak dapatkan rawatan

300,000 rakyat Kelantan hidap diabetes, tapi ramai tak dapatkan rawatan

oleh suara timur

TANAH MERAH: Seramai 300,000 atau 16 peratus daripada 1.9 juta penduduk Kelantan menghidap diabetes.

Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Mohd Azman Yacob berkata, daripada angka itu, hanya 30 peratus sahaja yang hadir mendapatkan rawatan ke hospital atau klinik.

Katanya, berdasarkan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023, satu daripada enam rakyat Kelantan menghidap kencing manis dan angka itu masih kekal sehingga kini.

“Usia pesakit diabetes di Kelantan adalah antara 18 hingga 29 tahun manakala faktornya pula, selain genetik, ia juga disebabkan gaya hidup serta corak pemakanan.

banner

“Ia agak membimbangkan kita di jabatan kesihatan kerana apabila ramai menghidap kencing manis, kita perlu menyediakan fasiliti untuk rawatan termasuk komplikasinya yang berkaitan dengan dialisis,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Outreach Literasi Kesihatan Diabetes peringkat daerah Tanah Merah di Masjid Mukim Batu 11, di sini, hari ini.

Menurut Dr Mohd Azman, masyarakat perlu faham bahawa kencing manis bukan sekadar itu tapi lebih lagi kerana kalau tak dirawat atau dikawal dengan betul, akan menimbulkan masalah lebih besar.

Katanya lagi, ada juga pesakit yang tidak tahu mereka menghidap kencing manis dan dibimbangi jika dibiarkan, mereka menjadi pesakit kronik.

Dr Mohd Azman berkata, penyakit diabetes boleh dirawat asalkan pengambilan ubat dibuat secara konsisten dan menjalani gaya hidup sihat. – Metro

Tinggalkan komen