Home SukanRubber Tipper, Andak TXV @ AJFIX pertahan kejuaraa Terengganu 4×4 Merdeka Challenge

Rubber Tipper, Andak TXV @ AJFIX pertahan kejuaraa Terengganu 4×4 Merdeka Challenge

oleh suara timur

KUALA NERUS: Berdepan laluan yang lebih mencabar, Rubber Tipper dan Andak TXV @ AJFIX membuktikan kehandalan jentera serta kemahiran pemandu apabila berjaya mempertahankan kejuaraan dalam kategori masing-masing pada Terengganu 4×4 Merdeka Challenge 2026 di sini, Sabtu lalu.

Rubber Tipper yang mempertaruhkan jentera Daihatsu Feroza 1.6 SE dipandu Mohd Fadly Deraman bersama pemandu arah Mohd Fadil Mat Ayub mengungguli kategori Short Wheel Base (SWB) dengan mengumpul 441 mata selepas mengharungi lapan peringkat khas (SS), sekali gus menewaskan 26 pencabar lain.

Pengurusnya, Noor Ashrol Mohd Noor berkata kemenangan kali ini hadir dalam keadaan berbeza apabila pasukan yang dibarisi pemandu lori getah dari Merapoh, Pahang itu terpaksa berdepan cuaca panas dan berjerebu, berbanding keadaan basah pada edisi tahun lalu.

LAND Rover Defender Series 3 88 berusia hampir setengah abad taruhan pasukan GG 4×4 turut berentap memburu kejuaraan Terengganu 4×4 Merdeka Challenge 2026 yang telah berlangsung selama dua hari di Bandar Baru Kuala Nerus, Terengganu.

“Tahun lepas kami beraksi dalam cuaca basah sehingga terpaksa membalut karburator dengan plastik, tetapi kali ini kami terpaksa menempuhi bahang panas dan jerebu.

banner

“Cuaca amat menduga kami untuk menamatkan setiap SS. Litar di Kuala Nerus juga benar-benar memaksa kami berusaha lebih keras berbanding tahun lepas,” katanya.

Menurutnya, peningkatan prestasi pencabar turut menjadikan persaingan lebih sengit apabila beberapa pelumba berjaya mengutip mata penuh dan mendahului Rubber Tipper pada beberapa SS.

AKSI dua jentera lumba berentap serentak menerusi format ‘Super Rally’ mencuri tumpuan pada Terengganu 4×4 Merdeka Challenge 2026 di Bandar Baru Kuala Nerus, Terengganu.

Dalam kategori Long Wheel Base (LWB), Andak TXV @ AJFIX turut unggul apabila mengumpul 761 mata untuk muncul juara, sekali gus mengulangi pencapaian pasukan dari Selangor itu pada edisi lalu.

Pengurus pasukan, Mohd Foudzi Samat berkata strategi menurunkan tiga jentera lumba seperti edisi sebelumnya diteruskan, dengan Jeep Cherokee 2.5L sekali lagi menjadi taruhan utama dalam kategori berkenaan.

ANDAK TXV @ AJFIX muncul juara bagi kategori Long Wheel Base Terengganu 4×4 Merdeka Challenge 2026 sekaligus mempertahankan kejuaraan yang telah dimenangi pada edisi lalu di litar Bandar Baru Kuala Nerus, Terengganu.

“Berentap dalam kategori LWB bukan mudah, terutama dengan bentuk cabaran litar kali ini yang memerlukan jentera bekerja lebih keras.

“Namun kami tetap bersyukur kerana berjaya mengutip mata penuh dalam empat SS, yang banyak membantu kami untuk mengekalkan kedudukan sebagai juara,” katanya selepas perlumbaan.

Sebanyak 56 jentera lumba mengambil bahagian dalam edisi keenam Terengganu 4×4 Merdeka Challenge yang berlangsung selama dua hari bermula 4 September lalu di Bandar Baru Kuala Nerus.

RUBBERTipper kembali menaiki podium mempertahankan kejuaraan bagi kategori Short Wheel Base Terengganu 4×4 Merdeka Challenge yang telah berlangsung selama dua hari di Bandar Baru Kuala Nerus, Terengganu.

Saingan dibahagikan kepada tiga kategori dengan peserta perlu mengharungi lapan peringkat khas (SS) yang menguji ketahanan jentera dan kemahiran pemandu.

Perlumbaan anjuran Kelab Sukan Pacuan Empat Roda Ummah (UT 4×4) bersama Kelab Terjoh! 4×4 Kuala Terengganu selaku rakan teknikal itu turut mendapat sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Tourism Malaysia, Persatuan Pacuan Empat Roda Malaysia (MFWDA) serta Kerajaan Negeri Terengganu. – Suara Timur

Tinggalkan komen