Politik

Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sri Gading

BATU PAHAT – Barisan Nasional (BN) berhasrat untuk merampas kerusi yang dimenangi Pas dan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang lalu.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO akan meletakkan calon-calon pada PRU-16 bagi memastikan BN memenangi kerusi Parlimen yang dimenang parti pembangkang terbabit.

“Kita (BN) akan membuat tinjauan dan kajian terhadap kerusi-kerusi yang dimenangi Pas dan Bersatu di kawasan-kawasan tertentu.

“Insha-Allah kita akan bekerja bersungguh-sungguh untuk memastikan kerusi itu akan kembali dimenangi calon-calon UMNO pada PRU akan datang,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sri Gading di Dewan Orang Ramai Parit Raja di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO menegaskan UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebagai parti komponen akan terus memberi komitmen sepenuhnya bersama Kerajaan Perpaduan bagi menghadapi PRU-16.

Jelasnya, jika BN bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) pada PRU akan datang, beliau yakin BN akan terus dapat bersama kerajaan sekarang untuk menerajui negara.

“Cuba kita bersama Pas dan Bersatu, kita ada 26 kerusi, kerusi mana kita nak ambil (bertanding).

“Kalau kita nak menang kena buat cara nak menang, jangan nak menang tapi kita tidur, jangan nak menang kita gaduh sama sendiri, jangan nak menang kita bertikam sama sendiri jangan nak menang orang lama ditinggalkan, mesti ada kombinasi”katanya.

Ahmad Zahid yakin bahawa jika akar umbi bekerja keras untuk memastikan BN menang banyak kerusi PRU akan datang, UMNO akan dominan semula dalam politik tanah air. – Kosmo

Related Posts