Negara

JPJ gantung tugas anggota dirakam potong garisan berkembar

KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggantung tugas seorang anggotanya yang dirakam memandu secara melulu di Simpang Pulai, Perak, selepas video kejadian tular di media sosial hari ini.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, berkata siasatan awal mendapati anggota terbabit melakukan kesalahan lalu lintas dengan memotong di garisan berkembar.

Menurutnya, tindakan disiplin dikenakan serta-merta termasuk penggantungan tugas dan larangan memandu kenderaan jabatan.

“JPJ telah mengeluarkan notis saman terhadap anggota terbabit atas kesalahan tersebut.

“Anggota itu juga diarahkan bertukar ke jawatan kumpulan di Ibu Pejabat JPJ sehingga siasatan selesai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, siasatan dalaman turut dimulakan bagi meneliti kemungkinan berlakunya kesalahan lain membabitkan anggota berkenaan.

“Sekiranya didapati ada pelanggaran undang-undang lain, tindakan lanjut akan diambil mengikut peraturan sedia ada.

“JPJ tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu termasuk warga kerja jabatan ini yang melakukan kesalahan lalulintas,” katanya.

Katanya, pihak JPJ turut merakam penghargaan kepada orang awam yang bertindak merakam dan menyalurkan maklumat berhubung kejadian itu.

Menurut Aedy Fadly, maklumat yang dikongsi awam amat membantu penguatkuasaan serta memastikan integriti jabatan terus terpelihara. – Berita Harian


Related Posts