KOTA BHARU: “Kami sekeluarga minta semua doakan supaya anak saya, suami dan rakan-rakan dapat bebas pada 6 Julai depan,” kata Wan Ismail Wan Yusuf, 52.
Wan Ismail adalah bapa kepada penyanyi dikir barat Wan Norshaheeda Azlin atau lebih dikenali sebagai Eda Ezrin yang masih ditahan di Penjara Pusat Narathiwat.
Katanya, mereka berharap anaknya, suami dan rakan-rakan dapat bebas pada tarikh itu.
“Namun, kami tidak diberitahu perkembangan terkini bila anak saya akan dibebaskan dan saya berpegang anak akan bebas pada 6 Julai depan.
“Justeru, saya mohon kepada semua sama-sama berdoa supaya anak saya akan bebas tepat pada tarikhnya, selepas tempoh permohonan rayuan pendakwa raya untuk tahan bagi mencari bukti baharu tamat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, dia juga berharap pihak sana sama ada mahkamah, penjara atau pendakwa raya membantu memberi maklumat mengenai tarikh pembebasan anaknya.
Katanya, ini membolehkan mereka membuat persediaan termasuk mengambil anaknya di sana.
Terdahulu, Mahkamah Wilayah Narathiwat sekali lagi meluluskan permohonan pendakwa raya untuk melanjutkan tempoh memfailkan rayuan terhadap keputusan pembebasan penyanyi dikir barat Kelantan, suami dan empat rakan mereka atas tuduhan bersama memiliki 6,059 biji pil methamphetamine.
Susulan itu, Eda Ezrin, 30; suaminya, Mohd Affendi Ahmad, 35; dan rakan mereka, Eridieka Mohd Noor, 33; Mohamad Alif Deraman, 33; Nur Aida Mamat, 33 dan Zuhaira Nasrin, 26; akan terus ditahan di Penjara Pusat Narathiwat sehingga 6 Julai depan.
Ini susulan, pihak pendakwa raya mengemukakan permohonan lanjutan itu pada 30 Mei lalu dan itu adalah kali keempat mahkamah membenarkan permohonan pendakwa raya bagi melanjutkan tempoh memfailkan rayuan sejak mahkamah membebaskan semua tertuduh pada 6 Mac lalu. – Harian Metro