KUALA LUMPUR: Dua lelaki tempatan ditahan kerana disyaki memuat naik hantaran berunsur ugutan jenayah, hasutan dan dakwaan tidak benar terhadap kerajaan dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di media sosial.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M Kumar berkata tangkapan pertama membabitkan lelaki berusia 45 tahun yang disyaki membuat satu hantaran melalui akaun Tiktok yang mengandungi unsur hasutan serta penghinaan terhadap kerajaan.
“Tangkapan seterusnya membabitkan seorang lagi lelaki berusia 44 tahun melibatkan satu komen di akaun Facebook yang berbaur ugutan jenayah terhadap Perdana Menteri Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 506 dan 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“PDRM akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang dengan sengaja membuat, memuat naik, berkongsi atau menyebarkan hantaran berunsur hasutan, ugutan jenayah, berita tidak benar, atau apa-apa kandungan yang boleh menimbulkan kegentaran awam serta menggugat keharmonian masyarakat,” katanya. – Harian Metro