Oleh MUKHATAR A RAHMAN
KUALA TERENGGANU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Terengganu akan meneruskan penguatkuasaan secara tegas, berhemah dan berasaskan risiko terhadap pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan membahayakan keselamatan, khususnya susulan peningkatan kes kemalangan sepanjang penganjuran RXZ Members 8.0.
JPJ dalam kenyataan hari ini berkata tindakan penguatkuasaan akan memberi tumpuan terhadap kesalahan yang menjejaskan keselamatan, termasuk pengubahsuaian kenderaan yang tidak mematuhi spesifikasi serta perbuatan menunggang secara berbahaya.
Menurutnya, berdasarkan data kemalangan bagi tempoh 30 Julai hingga 2 Ogos, sebanyak 29 kes kemalangan jalan raya direkodkan di Terengganu dalam tempoh berkaitan penganjuran program berkenaan.
“Daripada jumlah itu, lima kes merupakan kemalangan maut yang mengakibatkan lima kematian, tiga kes melibatkan kecederaan parah, 20 kes kecederaan ringan dan satu kes tidak melibatkan kecederaan,” menurut kenyataan itu.
JPJ berkata daripada keseluruhan kes berkenaan, 18 berlaku di jalan ekspres, 10 di jalan Persekutuan dan satu di jalan negeri.
“Dapatan ini menunjukkan aspek keselamatan perlu diberikan perhatian bukan sahaja di lokasi program, tetapi juga sepanjang perjalanan peserta menuju ke Terengganu dan ketika pulang ke destinasi masing-masing,” menurut kenyataan itu.
Menurut JPJ, PDRM Terengganu turut melaporkan peningkatan jumlah kemalangan daripada 11 kes pada 2025 kepada 29 kes pada tahun ini, manakala kemalangan maut meningkat daripada dua kepada lima kes.
JPJ berkata pihaknya turut prihatin terhadap kemalangan membabitkan orang awam, termasuk seorang remaja yang mengalami kecederaan melecur serius selepas motosikal yang dinaikinya bersama ibunya terlibat dalam pelanggaran dengan sebuah motosikal peserta program.
“Kejadian tersebut memperlihatkan bahawa tindakan dan risiko di jalan raya boleh memberi kesan kepada pengguna lain yang tidak mempunyai kaitan dengan acara berkenaan,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, JPJ berkata budaya keselamatan perlu diperkukuh melalui kerjasama peserta, penganjur, komuniti permotoran dan agensi berkaitan, terutama bagi penganjuran program permotoran berskala besar pada masa akan datang.
Antara aspek yang perlu diberikan perhatian ialah komunikasi berkaitan pematuhan undang-undang sebelum perjalanan, pematuhan terhadap undang-undang dan spesifikasi teknikal kenderaan, pengurusan insurans peserta serta perancangan perjalanan dan rehat yang mencukupi.
JPJ berkata penguatkuasaan bukan bertujuan menghalang aktiviti komuniti permotoran yang dilaksanakan secara teratur dan bertanggungjawab, sebaliknya memastikan setiap aktiviti dapat berlangsung tanpa menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya lain.
“Kejayaan sebenar tidak hanya diukur melalui jumlah saman atau sitaan, tetapi melalui pengurangan kemalangan, kecederaan dan kehilangan nyawa,” menurut kenyataan itu.
JPJ turut menyeru semua penunggang supaya mematuhi undang-undang, memastikan motosikal berada dalam keadaan selamat, mengelakkan aksi berbahaya serta merancang perjalanan dengan baik. – Suara Timur
