Negara Negeri

Tapak ECRL Kertih diisytihar zon larangan masuk selepas kebocoran gas

KUALA LUMPUR: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) negeri mengeluarkan notis larangan kerja di Tapak Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) susulan insiden kebocoran paip gas, semalam.

Semua aktiviti pembinaan serta kerja di kawasan kebocoran paip gas di Seksyen 5, Kertih, Kemaman, di sini, dikeluarkan hari ini dan sehingga keadaan disahkan selamat digunakan.

Pengarah JKKP negeri, Ir Noorazman Soud berkata, Petronas Gas Berhad (PGB) dan syarikat yang terbabit dalam projek itu sudah diarah menyediakan laporan lengkap hasil siasatan insiden itu.

Katanya, JKKP negeri sudah menghantar sepasukan pegawai ke lokasi insiden untuk melakukan siasatan.

“Kita akan menjalankan siasatan secara lengkap dan tindakan perundangan akan dikenakan jika siasatan mendapati terdapat pelanggaran atau kecuaian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Razi Rosli dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 9.53 pagi.

Katanya, kebocoran paip gas jenis butana yang dikenal pasti sebagai bahan mudah terbakar sejauh kira-kira dua kilometer daripada laluan utama tidak membabitkan kawasan perkampungan atau kediaman penduduk.

Noorazman berkata, insiden kebocoran paip gas itu disedari pekerja di tapak pembinaan selepas mendapati asap putih dikesan di kawasan tapak projek, jam 9.49 pagi.

Katanya, siasatan awal mendapati PGB segera mengambil tindakan kecemasan apabila membunyikan siren kecemasan dan mengarahkan semua pekerja mengosongkan kawasan berkenaan.

“PGB juga mengambil tindakan segera apabila menutup dua injap utama untuk mengawal kebocoran dan sedang melakukan kerja pengosongan gas daripada paip,” katanya.

Ketika mengulas tempoh larangan kerja, Noorazman berkata, proses penutupan dan larangan dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya tiga hari.

Katanya, JKKP negeri juga mengisytiharkan kawasan insiden sebagai zon larangan masuk dan kawalan keselamatan 24 jam dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Orang awam dilarang sama sekali untuk mendekati lokasi insiden bagi mengelakkan sebarang risiko keselamatan.

“Kita akan menjalankan siasatan mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan majikan yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman maksimum denda sehingga RM500,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya,” katanya. – Harian Metro

Related Posts